Seorang anggota polis ditahan kerja, kes pemerasan, larikan lelaki

Sinar Harian
November 30, 2023 11:45 MYT
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tindakan tahan kerja ke atas dua lagi anggota akan dipertimbangkan bergantung kepada hasil siasatan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga anggota polis yang disyaki terlibat dengan kes pemerasan dan melarikan seorang lelaki wartawan warga Bangladesh telah ditahan kerja.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tindakan tahan kerja ke atas dua lagi anggota akan dipertimbangkan bergantung kepada hasil siasatan.
“Kita sudah ambil tindakan tahan kerja terhadap seorang anggota manakala dua anggota lagi, kita tunggu tindakan susulan kerana kes itu di bawah siasatan Polis Selangor, siasatan sudah selesai tapi kita tunggu keputusan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan, kertas siasatan membabitkan kes tiga anggota polis telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ketiga-tiga anggota polis itu dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat.
Sebelum itu, media melaporkan tiga anggota polis antara enam individu diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kes tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan (KK) kerana cuba melakukan pemerasan dan Seksyen 342 KK kerana kurungan salah. - Sinar Harian
#Allaudeen Abdul Majid #tahan kerja #anggota polis #kes pemerasan
;