Senyuman, tepukan buat 'hero Malaysia', Dr Noor Hisham dan pasukan

Ridauddin Daud
Julai 1, 2020 20:09 MYT
Dr Noor Hisham dan pasukannya dengan bangga mengangkat plakad 'nombor 1' dalam sidang media harian pada Rabu. - Gambar BERNAMA
Lebih empat bulan berjuang melawan COVID-19, sosok tubuh Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hampir setiap hari terpampang di televisyen dan akhbar, berkongsi maklumat COVID-19 bersama rakyat Malaysia.
Dari situasi masih terkawal hinggalah kes mencecah tiga angka dan kembali kepada satu angka, Ketua Pengarah Kesihatan itu dan pasukannya tanpa lelah terus setia berkhidmat untuk negara.
Hari ini, Rabu, 1 Julai 2020, rakyat Malaysia mungkin menyaksikan senyuman paling gembira dan bermakna di wajah ‘hero Malaysia’ itu kerana negara mencatatkan hanya satu kes positif COVID-19.
Sambil tersenyum bangga, Dr Noor Hisham dan pasukannya mengangkat plakad tertera tulisan 'nombor 1' pada sidang media harian di sini pada Rabu.
“Hari ini baru kita ada satu kes, iaitu hari yang bersejarah, satu kes dilaporkan, dan kes sifar untuk penularan tempatan ya,” katanya diiringi tepukan semua yang hadir pada sidang media tersebut.
BACA: Hanya satu kes baharu, sifar penularan tempatan
BACA: COVID-19: Hanya satu kes direkodkan, ini kejayaan bersama rakyat Malaysia
Terkenal dengan sikap rendah dirinya, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya sebelum itu menyatakan kejayaan itu adalah kejayaan bersama rakyat Malaysia yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“KKM ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak terutama masyarakat Malaysia di atas pencapaian ini.
“Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, pencapaian ini sememangnya hasil kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing,” ujarnya.
BACA: COVID-19: Kes tunggal hari ini babit warganegara 21 tahun pulang dari Turki
BACA: Kita hampir menang! Ini lima perkara penting disampaikan Dr Noor Hisham hari ini
Sejak 27 Februari 2020, Malaysia akhirnya benar-benar menghampiri angka sifar kes positif harian COVID-19 dan diharapkan selepas ini, Malaysia akan menang sekaligus merekodkan sifar kes.
#Astro #Astro Awani #Dr Noor Hisham Abdullah #kerajaan #kesihatan #KKM #koronavirus #Malaysia #Media #Noor Hisham Abdullah #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP #rakyat #rakyat Malaysia #SOP
;