"Senyuman adik malam tadi pelik" - Abang mangsa nahas konvoi motosikal

Nazialita Geynna Maharan
Januari 21, 2018 10:36 MYT
Anggota keluarga menyembahyangkan jenazah Muhsin Muhamad Wazer, 23, dan Mohamad Syarif Mohamad Said, 30, yang maut dalam kemalangan jalan raya pagi tadi. - Foto Bernama
Senyuman Rafiq Hafizi kepada abangnya, Rafiezul Asyraf sebelum keluar dari rumah, malam tadi, tidak disangka adalah yang terakhir sebelum menerima khabar sedih Rafiq meninggal dunia dalam nahas jalan raya, pagi tadi.
Rafeizul 24 tahun memberitahu, sebelum ini allahyarham adiknya yang berusia 21 tahun itu tidak pernah keluar lewat malam, namun Allahyarham memaklumkan hasrat untuk keluar bersama rakannya selepas pukul 12 tengah malam tadi.
“Adik berkelakuan agak pelik sikit malam tadi, hari tu dia ada cakap tidak hendak keluar, tetapi tiba-tiba hari ini hati dia terdetik nak keluar, sekitar pukul 10 malam tadi dia bertukar fikiran,” kata Rafeizul.
Allahyarham Rafiq merupakan anak bongsu dari lima beradik dan merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrikal Universiti Tenaga Nasional (UniTEN) yang bakal menduduki peperiksaan akhir tahun, esok.
Hasrat langsung perkahwinan Muhsin musnah
Sementara itu, Afzir Mohamed Wazer pula memaklumkan adiknya, Muhsin Mohamad Wazer, 23 tahun telah merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.
“Dia ada beritahu pada mak, mak beritahu saya. Saya pun sudah berbincang dengannya, saya kata apa-apa kena rancang betul-betul dari segi persediaan. Kalau dah bersedia tidak apa saya boleh tolong,” kata Afzir.
Dalam nahas pagi tadi, kedua-dua mangsa maut bersama dua lagi rakan mereka apabila motosikal yang ditunggang bergesel dalam kemalangan di kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.
Rafiq Hafizi dan rakannya Mohamad Syarif Mohamad Said meninggal dunia di lokasi sementara dua lagi rakan mereka Muhsin Mohamad Wazer dan Mohamad Hafiz Jabon, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
#Hospital #ICU #kemalangan #konvoi motosikal #mangsa #maut #meninggal dunia #Mohamad Syarif Mohamad Said #Muhsin Mohamad Wazer #Nahas #pelajar #peperiksaan #PLUS #Rafiezul Asyraf #Rafiq Hafizi