Sentimen perkauman perlu dihentikan, tegas Anwar Ibrahim

Hilmi Malik
November 9, 2018 23:00 MYT
ANWAR: Saya percaya negara kita perlu kongsi hasil kekayaan bersama semua lapisan masyarakat. - Gambar fail
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan 'budaya' perkauman tidak perlu lagi wujud dan dihapuskan dalam era Malaysia Baharu di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.
Ujarnya, kekayaan sesebuah negara perlu dikongsi semua masyarakat berbilang kaum agar tidak ada mana-mana bangsa yang ketinggalan.
"Saya percaya negara kita perlu kongsi hasil kekayaan bersama semua lapisan masyarakat. Apa yang uniknya, rakyat telah membuat keputusan untuk menolak rasuah dan sentimen perkauman," katanya hari ini ketika berucap di Forum Ekonomi China Sedunia di ibu negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kedatangan pelabur asing untuk menjadi Malaysia sebagai hab pelaburan utama.
Ahli parlimen Port Dickson itu turut berkata dengan adanya kedatangan pelabur asing ia bakal meningkatkan ekonomi negara.
Hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.
Dalam majlis itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menerima Anugerah Kebajikan Khas sementara Lim Kit siang menerima Anugerah Pencapaian Luar Biasa Sepanjang Hayat.
#Anwar Ibrahim #ekonomi #kekayaan negara #pelabur asing #perkongsian #perpaduan #rakyat Malaysia #sentimen perkauman
;