Sentimen keterlaluan tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana - Zambry
Astro Awani
Julai 10, 2023 05:15 MYT
Julai 10, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Membina kestabilan dalam negara adalah antara komitmen utama Kerajaan Perpaduan sekarang.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan perlu diberi ruang untuk memimpin dan sekiranya sentimen keterlaluan dimainkan setiap hari, ia tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.
Tegasnya, suara Kerajaan Perpaduan terutamanya mengenai kestabilan perlu disampaikan kepada rakyat kerana akhirnya rakyat juga yang akan menilai semuanya.
Tambah beliau, komitmen sebegitu penting kerana Malaysia tidak lagi boleh hidup dalam budaya fitnah sehingga hilang fokus untuk membangunkan negara.
“Harapan kita, dalam PRN enam negeri ini, kita dapat memberikan formula dan pendekatan yang terbaik tanpa menggunakan pendekatan keterlaluan, dengan main sentimen emosi.
“Perkara itu akhirnya tidak akan membawa ke mana-mana. Perdana Menteri sudah suarakan komitmen dari segi kedudukan satu kaum terancam, agama sudah terancam.
“Komitmen itu beri keyakinan kepada rakyat bahawa perjuangan kita berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Kita tak akan korbankan apa yang ditetapkan dalam Perlembagaan.
“Perjuangan Melayu, Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam, termasuk kedudukan kaum-kaum lain pun,” katanya.
Tambahnya lagi, sudah sampai masanya mesej itu disampaikan kepada rakyat dan seterusnya berusaha memastikan negara dapat terus maju.
Beliau berkata demikian pada program Agenda AWANI pada Isnin.