Senoi Praaq bantu operasi cari kanak-kanak Orang Asli hilang
Abd Razak Mohd Ali
Januari 19, 2022 10:20 MYT
Januari 19, 2022 10:20 MYT
GERIK: Kepakaran anggota Senoi Praaq digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang dilaporkan hilang di Hutan Temengor di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, 12 pegawai dan anggota Senoi Praaq itu dibawa dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
Selain itu, katanya, sebanyak dua anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga dibawa untuk membantu operasi.
“Setakat ini kekuatan bantuan sumber manusia telah ditingkat kepada 76 orang, termasuk dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Perhilitan, syarikat komunikasi dan orang awam,” katanya hari ini.
Kamiliah Anab, 9, disedari hilang sekitar jam 4.30 petang selepas keluarganya bersama penduduk lain pulang dari mencari hasil hutan di Kampung Selao, berhampiran Padang Jeri, dekat sini.
Menurut Zulkifli, ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju kuning dan berseluar biru.