Senjata Nuklear: Fahami sains, perkuat suara di peringkat global

Madiha Abdullah
Ogos 29, 2021 10:43 MYT
Pembinaan sistem radar bekas Kesatuan Soviet 'Duga' dilihat berhampiran Loji Tenaga Nuklear Chernobyl, berhampiran Chernobyl, Ukraine, 22 November 2018. - Gambar fail REUTERS
KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa senjata nuklear merupakan isu berkaitan polisi dan hubungan antarabangsa yang tidak berkaitan dengan masyarakat awam perlu diubah.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Tan Sri Dr Siti A'iasah Hashim berkata, sains dan teknologi berkaitan nuklear memberi banyak manfaat.
Namun, tegasnya, tanpa pengetahuan dan kesedaran yang tinggi, ia boleh membawa kemusnahan besar.
"Sains dan teknologi berkaitan nuklear ini merupakan dual use, boleh digunakan secara aman dan memang prinsip Malaysia serta masyarakat antarabangsa menerima teknologi ini sebagai keperluan bidang-bidang tertentu seperti pertanian dan perubatan.
"Tetapi ia juga boleh digunakan untuk keganasan seperti pembangunan senjata nuklear. Contohnya uranium, jika dikayakan (enrich) ia boleh digunakan untuk menghasilkan senjata.
"Kita tahu kesan senjata nuklear ini sangat buruk dan membawa kehancuran. Kita semua tahu apa yang berlaku dahulu di Nagasaki dan Hiroshima, sebab itu ia dikategorikan sebagai weapon of mass destruction.
"Sebagai anggota masyarakat kita perlu ambil tahu kerana kita tidak mahu nanti, pengetahuan kita dalam bidang ini disalah tafsir dan dipergunakan dengan tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Hari ini, 29 Ogos, diisytiharkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Antarabangsa Menentang Ujian Nuklear.
Hari Nuklear | Nuklear: Fahami sains, perkuat suara global
Tahun lalu, Menteri Luar ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menandatangani Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) pada 30 September, sekali gus menjadikan Malaysia negara ke-46 dalam perjanjian tersebut.
Sebagai anggota TPNW, Malaysia sentiasa menunjukkan komitmen berterusan dan melihat triti itu sebagai satu dorongan untuk masyarakat antarabangsa bersuara menggunakan mesej politik yang lebih kuat.
"TPNW merupakan surat cara yang melarang segala aktiviti berkaitan dengan senjata nuklear termasuk pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan, penempatan, dan penggunaan.
"Kabinet baharu kita yang dibentuk ini sebagai contoh, boleh bersuara dan menyatakan mesej politik yang lebih kuat ke arah penghapusan nuklear di peringkat global.
"Komitmen kita tidak perlu dipertikai kerana kita antara negara terawal yang menandatangani ratifikasi itu," ujarnya.
Malaysia, tambah beliau, sedang dalam proses membangunkan akta berkaitan penggunaan teknologi nuklear yang akan mengambil kira elemen dalam TPNW.
"Kita sememangnya tegas dalam penghapusan senjata nuklear secara total. Kami di Agensi Nuklear Kebangsaan, sebagai badan kebangsaan bagi Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT), kami yakin dapat membantu Malaysia laksanakan TPNW melalu data saintifik yang kita peroleh setiap hari.
"Tetapi kita juga perlu kerjasama kolektif dari negara anggota lain, dan mungkin adanya keperluan penguatkuasaan perenggan TPNW dalam perundangan sesebuah negara.
"Sebagai contoh, kita di Malaysia sudah menyatakan komitmen, jadi perenggan itu kena dimasukkan dalam perundangan, yang mana bersesuaian," katanya lagi.
Sejak ujian senjata nuklear pertama pada 16 Julai 1945, lebih 2,000 ujian telah dijalankan.
Sejak mula disambut pada 2010, Hari Antarabangsa Menentang Ujian Nuklear membawa banyak perkembangan dua hala dan pelbagai hala, serta gerakan dimulakan bagi membantu mempercepatkan usaha mengharamkan ujian nuklear.
#nuklear #Siti A'iasah Hashim #sains dan teknologi #Hari Antarabangsa Menentang Ujian Nuklear
;