Senjata api: 'Saya minta maaf atas apa yang berlaku' - Hafizul Hawari

Sinar Harian
Februari 25, 2025 14:30 MYT
Hafizul (tengah) dikawal polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu. - Foto Bernama
KOTA BHARU: “Saya minta maaf atas apa yang berlaku.”
Itu kata pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 38, yang dihukum penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api secara haram.
Hakim Zulkifli Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hafizul Hawari, 39, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan.
Bagi pertuduhan pertama kerana memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, buatan Turkiye mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Hafizul dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, Hafizul dihukum penjara tiga tahun atas pertuduhan memiliki 33 butir peluru jenis PMC 380 Auto tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Pertuduhan ketiga melibatkan pemilikan mercun bola tanpa permit, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan berdepan dihukum penjara tiga tahun.
Selain itu, Hafizul menghadapi tiga pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki tiga kad pengenalan milik individu lain.
Setiap pertuduhan ini membawa hukuman penjara enam bulan, menjadikan jumlah setahun enam bulan.
Pertuduhan ketujuh melibatkan penggunaan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan Honda Civic miliknya, yang melanggar Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dijatuhi hukuman penjara setahun.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan pada 15 April tahun lalu, pada jam 2 petang, di perkarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad berhujah bahawa kesalahan-kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan membahayakan keselamatan awam.
Beliau menekankan bahawa pemilikan senjata api tanpa kebenaran sah merupakan ancaman besar kepada masyarakat dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.
Peguam bela tertuduh, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang anak guamnya melalui mitigasi bertulis sejumlah 19 muka surat.
Selain itu, Hafizul diberi peluang merayu, membuat permohonan maaf itu dan meminta hukumannya diringankan.
Setelah menimbang hujah kedua-dua pihak, Zulkifli memutuskan bahawa hukuman berat adalah wajar diberikan sebagai peringatan kepada tertuduh dan masyarakat umum mengenai keseriusan kesalahan tersebut.
Beliau juga memerintahkan agar hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 15 April tahun lalu.
Dalam kejadian pada 14 April lalu, Hafizul didakwa melepaskan tembakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor yang disasarkan kepada isterinya, Farah Md Isa, 38, namun mengenai seorang pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini, mengakibatkan kecederaan.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Hafizul mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dua pertuduhan iaitu cuba membunuh Farah, 38, dan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Mohd Nur Hadith, 38.
Dua kes berkenaan masih berjalan.
#Hafizul Hawari #didapati bersalah #memiliki senjata api #Mahkamah Kota Bharu #terkini
;