Seniwati Mariani meninggal dunia

Astro Awani
Disember 1, 2015 20:41 MYT
Seniwati Mariani akan terus diingati oleh keluarga tercinta, sahabat, rakan-rakan industri serta seluruh peminat seni negara.
Hilangnya sebutir lagi bintang di persada seni tanah air.
Seniwati Mariani atau Mariam Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.32 malam dipercayai akibat kanser usus di kediaman anak perempuannya di Taman Kosmo Jaya, Sentul di sini malam tadi.
Berita mengejutkan itu telah disampaikan ke pengetahuan umum oleh anaknya sendiri iaitu Melissa Saila melalui akaun media sosialnya.
Allahyarhamah yang berusia 82 tahun merupakan kakak kepada biduanita negara, Puan Sri Saloma.
Sebelum ini, Mariani pernah beberapa kali dirawat di pusat perubatan kerana mengalami kemerosotan kesihatan kerana usianya.
Jenazah akan dimandikan di Masjid Al Hidayah, Jalan Sentul pada jam 9 pagi dan seterusnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, pada jam 11 pagi esok.
Anak seni
Dilahirkan pada 20 April 1933 di Tanjung Pagar, Singapura, Mariani merupakan antara seniwati yang masih terus melaksanakan tanggungjawab dan menunjukkan kecintaannya pada dunia seni lakon.
Bakatnya yang merentasi zaman menyaksikan sejarah kerjaya terlakar hebat dari era Studio Jalan Ampas hinggalah ke pelbagai produksi semasa.
Sepanjang hayatnya, bekas Ratu Cantik Singapura 1957 itu pernah berkahwin sebanyak tiga kali.
Bersama suami pertamanya iaitu Darus, Mariani telah dikurniakan dua anak iaitu Noraini dan Normala. Manakala dengan suami kedua iaitu H. M. Rohaizad, mereka mendapat enam anak iaitu Sharifah Haslinda, Sharifah Rozita, Syed Herwaini, Syed Marhain, Syed Nazran dan Syed Hasnidan.
Bersama suami ketiganya, Alias, Mariani memperoleh lima orang anak iaitu Iskandar Mierza, Shahruniza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan Melissa.
Salam takziah buat untuk keluarga Allahyarhamah.
Al-Fatihah.
#Mariam Ismail #Mariani #seniwati
;