Seniman ucap takziah atas pemergian Allahyarham Jay Jay

Kenyataan Media
Ogos 4, 2024 22:40 MYT
Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan memaklumkan amat berdukacita atas pemergian arwah ke negeri abadi namun redha atas kehendak ilahi.
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga atas pemergian penyanyi legenda, Jay Jay yang meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, malam tadi.
Setiausaha Agung, Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan memaklumkan amat berdukacita atas pemergian arwah ke negeri abadi namun redha atas kehendak ilahi.
“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi permata industri hiburan tanah air iaitu Mohd Fauzi Darus atau lebih popular dengan nama pentasnya Jay Jay telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 9.45 malam di Hospital Thomson Kota Damansara akibat kegagalan beberapa organ dalaman pada usia 67 tahun,” tulis kenyataan.
Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, Jay Jay merupakan bekas penyanyi dan pemain bass kumpulan Carefree, beliau dilahirkan di Kedah dan dibesarkan di Kelantan.
Jay Jay turut merakam beberapa buah album antaranya adalah Jay Jay 1984, Kau Yang Tersakiti 1985, Keasingan Dalam Luka 1986, Kurnia 1988, Bersama 1990, Jay Jay ‘97 1997 dan beberapa buah album kompilasi dan empat buah album bersama kumpulan Carefree.
Antara lagu terkenal dendangan beliau adalah Joget Angan Tak Sudah, Kita Insan Biasa, Tiada Lagi Airmata, Cukuplah Sekali dan banyak lagi.
Jenazah kini berada di Hospital Thomson Kota Damansara dan akan dibawa keluar sekitar jam 7 pagi nanti ke Masjid Al-Husna Bandar Sunway untuk dimandikan.
Jenazah akan disolatkan sekitar jam 9.30 pagi dan akan dibawa ke tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang PJS 5 untuk disemadikan pada jam 10.30 pagi.
#ucapan takziah #Seniman #Jay Jay #meninggal dunia