Seniman tidak setuju bawa BTS ke Malaysia

Astro Awani
April 26, 2019 13:27 MYT
Seniman berharap kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan memberi tumpuan pada kebajikan dan masa depan penghibur tempatan.
PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) memohon kerajaan agar mempertimbangkan semula keputusan untuk membawa kumpulan K-Pop ikonik, Bangntan Boys atau BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menurut Seniman, idea membawa kumpulan BTS ke Malaysia tidak akan membawa apa-apa kebaikan pada industri hiburan tanah air.
Dalam masa sama, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah meminta kerajaan menumpu usaha memperkasakan industri hiburan berbanding memberi keutamaan pada artis antarabangsa.
“Seniman berharap di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, mereka lebih memberi tumpuan kepada artis, penyanyi, pelakon, pelawak, pemuzik serta warga industri kreatif keseluruhannya dapat diberikan perhatian yang lebih.
“Supaya industri ini berjaya menjana pendapatan yang mampu membantu meningkatkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)dan secara tidak langsung para pemain industri ini mendapat pekerjaan di dalam negara sendiri,” kata Hafiz dalam kenyataan yang diedarkan pada Jumaat.
Seniman juga, kata Hafiz, amat berharap kerajaan memberi tumpuan pada permasalahan yang membabitkan hak harta intelek para pelakon, perumahan selain mewujudkan Akta Industri Kreatif agar penggiat industri itu lebih terjamin pada masa depan.
BACA: Berita gembira kepada peminat K-pop, BTS datang ke Malaysia 2020
#mahu bawa masuk BTS #Malaysia #melawat Malaysia 2020 #meningkatkan KDNK Negara #Menteri Belia & Sukan #Pakatan Harapan #Perbadanan Stadium Malaysia #Persatuan Seniman Malaysia #Seniman tidak setuju bawa BTS ke Malaysia #Syed Saddiq
;