Seni warisan congkak diberi suntikan nafas baharu, pikat generasi muda

Wanna Abd Rahim
Februari 11, 2023 12:45 MYT
Arja Lee berkata, seiring berkembangnya teknologi, cara penyampaian hiburan turut mengalami perubahan sehinggalah permainan tradisional ini turut dipandang sepi. -Astro AWANI
KOTA BHARU: Masyarakat Melayu sememangnya tidak asing dengan permainan tradisional congkak, namun ada sebahagiannya, masih kurang memahami apa itu congkak dan bagaimana cara permainannya.
Pensyarah dan pelakon Arja Lee, 39, berkata seiring berkembangnya teknologi, cara penyampaian hiburan turut mengalami perubahan sehinggalah permainan tradisional ini turut dipandang sepi.
"Apa yang saya mahu, biar seni warisan yang ada ini dapat mendidik, mendekatkan dan meningkatkan apresiasi masyarakat khususnya pada permainan tradisional congkak ini.
"Ia bertujuan untuk memperkenalkan dan mendekatkan serta memupuk rasa minat generasi muda masa kini dengan permainan tradisional Melayu di negara kita," katanya dalam satu Majlis Jom Main Congkak 1.0, yang diadakan di jajahan Bachok, baru-baru ini.
Tambahnya, program Jom Main Congkak ini merupakan alternatif terbaik untuk menarik minat kanak-kanak serta generasi muda agar menjadikan permainan tradisional congkak sebagai satu warisan yang kekal relevan.
"Saya mahu membawa seni permainan congkak berada di tahap lebih tinggi setaraf dengan permainan moden pada masa kini.
"Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan kanak-kanak dan generasi muda dengan lebih dekat sekali gus dapat merasai keseronokan dan keistimewaan sebenar permainan congkak ini.
"Ia juga dapat meningkatkan tahap apresiasi kanak-kanak, generasi muda dan masyarakat luar secara dekat khususnya pada keunikan permainan tradisional congkak ini dan bagaimana bermula sebuah papan congkak itu dihasilkan," katanya.
Menurut Arja, dengan memperkenalkan masyarakat di luar sana pada keistimewaan dan keunikan permainan tradisional era baharu ini, ia sekali gus dapat melahirkan generasi yang celik seni.
Selain itu, ia juga dapat meningkatkan apresiasi seni dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa tanpa mengira umur, kaum dan agama.
"Congkak merupakan permainan tradisi yang dimainkan oleh dua orang pemain dan kedua-duanya akan duduk berlawanan secara berhadapan.
"Sebelum memulakan permainan, pemain perlu menentukan arah yang mana untuk berdepan pihak lawan. Ia merupakan satu permainan yang cukup istimewa," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, program anjuran akademinya ini akan dilakukan secara berperingkat dan berterusan agar generasi muda di Kelantan dapat memartabat dan memelihara sejarah serta warisan yang sedia ada.
Menurutnya lagi, Arja Arts Academy merupakan sebuah akademi pembelajaran merangkumi bidang seni seperti lakonan, tarian, nyanyian dan aktiviti seni.
Ia bukan sekadar menjadi akademi untuk proses pembelajaran sahaja, bahkan mendidik generasi masa depan.
#Congkak #Warisan #Arja Arts Academy #Arja Lee
;