Seni pembuatan senjata tradisional masih relevan untuk raih pendapatan

Bernama
Julai 1, 2021 10:34 MYT
Tukang besi Pusaka Melayu, Ahmad Ridwan Yaakub, mengetuk lenturan besi senjata tradisi Melayu di bengkelnya. - Foto BERNAMA
IPOH: Perniagaan pembuatan kraftangan senjata tradisional Melayu mungkin bukan sesuatu yang popular atau mendapat sambutan yang menggalakkan di dalam dunia yang semakin canggih dan kepantasan peredaran teknologi masa kini.
Namun, bidang ini adalah antara sumber rezeki buat dua sahabat baik anak jati Perak, Mohd Imran Hadiri, 35 tahun, dan Ahmad Ridwan Yaakub, 49 tahun, yang mengusahakan perniagaan pembuatan kraftangan senjata tradisi Melayu yang diwarisi, sejak beberapa tahun lepas.
Bernaung di bawah nama Pusaka Melayu atau Aidil Craft, dua sahabat baik ini berkongsi kemahiran menghasilkan pelbagai kraftangan pertukangan besi seperti kerambit, sundang, tombak, keris dan pedang yang menjadi punca pendapatan utama meskipun negara dilanda penularan wabak COVID-19.
Mohd Imran yang juga Pengurus Pusaka Melayu berkata mereka tidak menggunakan sebarang mesin canggih dalam proses penghasilan kraftangan senjata tradisi itu sebaliknya menggunakan kudrat tenaga sepenuhnya di bengkel tersebut.
"Bermula daripada proses membakar besi di ketuhar arang tradisional dengan suhu setinggi 10,000 darjah Celcius, mengetuk lenturan besi, sepuh air (proses pengerasan besi) dan mencanaikan bilahan tersebut kesemuanya menggunakan tangan.
"Kami mengekalkan ciri-ciri tradisional kerana senjata ini merupakan lambang budaya kita," katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya di Jalan Simpang Pulai-Kampung Pengkalan Pegoh, kira-kira sembilan kilometer dari pusat Bandaraya Ipoh.
Menyentuh mengenai tempahan, Ahmad Ridwan sebagai tukang besi Pusaka Melayu yang menawarkan kualiti serta harga produk yang berpatutan berkata pihaknya menerima tempahan termasuk dari istana selain pelanggan dari luar negara seperti Switzerland, Perancis, Singapura dan Indonesia
"Kami menerima tempahan sebanyak 20 bilah tombak istana dari Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, April yang lepas dan penghasilan tombak istana itu mempunyai seni reka unik tersendiri.
"Setelah menghasilkan tombak istana yang pertama dan dipersembahkan di hadapan Sultan Perak, baginda telah berkenan dengan hasil kerja kami. Tombak istana yang dihasilkan mempunyai keistimewaan tersendiri. Antaranya mata bilah bagi tombak ini ditempah agar tidak terlalu tajam dan menggunakan warna keemasan untuk melambangkan Kesultanan Melayu," katanya.
Bercerita lanjut mengenai tombak istana itu, Ahmad Ridwan yang juga lepasan Institut Kemahiran MARA (IKM) Tan Sri Yahya, Pekan Pahang di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal berkata tombak istana itu berukuran tujuh kaki dan mempunyai ciri-ciri istimewa pada mata bilah hingga ke hujung tombak tersebut.
Mengenai harga, Mohd Imran berkata ia bergantung pada tempahan dan permintaan pelanggan, malah pernah menghasilkan kerambit yang bernilai RM80 sehingga ke sundang berluk yang mencecah nilai RM1,000.
"Pelanggan menempah kraftangan senjata besi mengikut kehendak mereka. Ada yang hendak kombinasi besi berbeza serta ukiran tertentu pada besi dan kayu. Ada kerambit yang kami terima mahukan ukiran naga dan ada juga yang menempah sundang dan meminta pada bilahnya ditulis surah Al-Fatihah.
"Kami akan hasilkan ikut tempahan ...istimewanya kraftangan senjata itu kerana ia mengikut identiti dan kehendak pelanggan itu sendiri. Misalnya, tempahan istana, kita proses mengikut tempahan dan bila pihak istana berpuas hati, baru tempahan tersebut kita teruskan," katanya.
Kedua-dua rakan kongsi itu memaklumkan peningkatan cita rasa pelanggan sejak lima tahun kebelakangan ini dalam memperagakan busana Melayu, telah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keunikan dan kepentingan seni budaya dan tradisi Melayu.
Justeru, meskipun ketika keadaan mencabar ketika ini, dua sahabat ini tetap gigih mengusahakan perniagaan bagi kelangsungan hidup di samping memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keistimewaan warisan senjata tradisi Melayu secara dalam talian.
-- BERNAMA
#senjata #kraftangan #Melayu #tradisional #pendapatan #COVID-19 #keris #budaya #kerambit
;