Seni dan budaya perlu diperkasa di semua universiti - Rais Yatim

Bernama
September 7, 2016 07:17 MYT
Rais berharap industri seni dan budaya tanah air akan terus berkembang. - Gambar fail
Bidang seni dan budaya perlu diperkasakan semula di semua universiti untuk kepentingan tanah air, agama dan bangsa, kata Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Menurutnya menerusi bidang itu, semangat kekitaan dan nilai budi dapat dibentuk dalam kalangan pelajar.
Rais yang juga presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Pusat Antarabangsa Kebudayaan (CiTRA) universiti itu turut giat menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kelab-kelab kebudayaan di bawahnya bagi mengangkat budaya dan seni persembahan Islam.
"Kita akan teruskan program ini agar kepakaran dalam ilmu mencari keilmuan dipagari dengan kebolehan dalam dunia seni dan budaya. Pagar-pagar warisan harus kita bina semula (kerana) kita sudah banyak ketinggalan dalam zaman ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Sepetang Bersama CiTRA - Salam Merdeka' di UIAM Gombak, semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Rais berharap industri seni dan budaya tanah air akan terus berkembang.
Menurutnya, rakyat di negara ini tidak seharusnya terlalu mengagungkan pelakon dan penyanyi barat kerana negara ini turut mempunyai ramai anak seni yang berbakat besar.
#CiTRA #Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan #Rais Yatim #UIAM
;