Sengketa politik harus dihentikan, fokus pulihkan negara
Astro Awani
Ogos 31, 2021 12:44 MYT
Ogos 31, 2021 12:44 MYT
KUALA LUMPUR: Sengketa politik yang berlaku sebelum ini harus dihentikan dan semua pihak perlu menggiatkan usaha untuk memulihkan negara.
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, rakyat mahu semua kepemimpinan politik bersatu, menumpukan usaha untuk menyelamatkan ekonomi dan kehidupan rakyat yang terkesan akibat pandemik.
Menurutnya, adalah mustahil untuk Malaysia bebas daripada pandemik jika tiada kestabilan politik dan kerjasama rakyat.
“Demi melangkah ke depan dalam suasana yang baru dan mencabar, dengan mengambil semangat kemerdekaan ini, inilah masanya untuk Malaysia, khususnya pemimpin politik terus bergerak ke depan merencana jalan lebih baik buat rakyat dan negara.
“Penggal Parlimen ke-14 menyaksikan kerajaan tiga kali bertukar tangan, sekali gus menunjukkan kepada kita polemik politik yang berlaku sebelum ini, jika berterusan secara tidak langsung akan menjejaskan nasib rakyat.
“Rakyat jelik dan marah dengan ganggu gugat politik yang berterusan. Usaha kerajaan melawan pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara juga terganggu jika episod persengketaan politik ini berterusan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, kerajaan baharu yang ditubuhkan ini membawa mesej Keluarga Malaysia, amat bertepatan dengan semangat kemerdekaan yang mesti dijiwai dalam sambutannya pada tahun ini.
“Rakyat kini mengharapkan kerajaan yang ada dapat menghentikan pandemik dengan segera.
“Kerajaan perlu diberi ruang untuk tumpukan sepenuh usaha dan tindakannya untuk melawan COVID-19 serta memulihkan ekonomi,” ujarnya.
Hari Kebangsaan 2021 | Keluarga Malaysia diajak tekad pulihkan negara
Katanya lagi, sambutan kemerdekaan ke-64 yang disambut di seluruh negara dalam norma baharu pada Selasa memberi erti amat besar buat rakyat Malaysia.
“Biarpun tanpa sambutan gilang gemilang, percikan bunga api disusuli acara perbarisan, suasana kemerdekaan tetap dijiwai,” katanya.