Sengketa penduduk 'tidak pergi mari' dilupakan sempena Aidiladha
Vivi Sumanti
September 3, 2017 15:00 MYT
September 3, 2017 15:00 MYT
Perbalahan akibat perbezaan politik bukan perkara baharu. Sering kali pihak yang bersengketa memilih untuk tidak bertegur sapa dan bersikap dingin.
Situasi sama turut berlaku di beberapa buah kampung dalam kawasan Kampung Tiong Dalam di sini.
Perselisihan faham akibat pandangan politik berbeza menyebabkan penduduknya 'tidak pergi mari' atau tidak bertegur sapa di antara satu sama lain.
Namun, kedatangan Hari Raya Aidiladha kali ini nyata berbeza apabila ia telah berjaya menyatukan penduduk di kedua-dua kampung yang bertelingkah.
Menurut penyelaras Program Let's Go 2017, Wan Kharsani Wan Ismail, selain melaksanakan ibadah korban, program yang dianjurkan ini sebenarnya adalah demi penyatuan.
"Alhamdulillah, hari ini kita dapat menyatukan dua buah kampung yang berselisih faham yang sudah agak lama, dan saya tengok pagi tadi ... alhamdulillah, persengketaan mereka dilupakan,“ kata Wan Kharsani ketika ditemui selepas program berkenaan, di sini, hari ini.
Hasil usaha tersebut membuahkan hasil kerana penduduk dari 10 buah kampong berdekatan keluar dan bergotong royong sama-sama menjayakan program hari ini.
Antara kampong terlibat ialah Kampung Tunjung Dalam, Kampung Tok Janggut, Tiong dan sebagainya yang menyaksikan lebih 300 penduduk bergotong-royong menyembelih 10 ekor lembu ternakan dan memasak daging korban.
Katanya, penghayatan ibadat korban difahami mereka dengan semangat perpaduan penduduk bukan sahaja golongan dewasa bahkan remaja turut sama membantu menjayakan korban serta kenduri di Kampung Tiong Dalam ini.
Selain acara korban, program di Kampung Tiong ini juga turut menyelitkan acara memasak secara tradisional, gulai kawah, pemeriksaan kesihatan dan agihan daging lembu kepada golongan kurang berpendapatan.
Program Let's Go 2017 ini, selain penglibatan 10 badan bukan kerajaan dan persatuan, ia turut membabitkan Kelab Media Kelantan Darul Naim atau Kemudi yang menyaksikan lebih 30 orang pengamal media dari Media cetak dan elektronik turut sama melapah lembu korban.