Senggaraan TNB hanya 16 jam, Syabas hentikan bekalan air 4 hari?

Harits Asyraf Hasnan
Disember 18, 2016 07:30 MYT
ROSLAN: Saya tidak tahu mengapa Syabas terpaksa menghentikan bekalan selama empat hari kerana ia diluar bidang kuasa TNB. - Foto Astro AWANI / ASYRAF HASNAN
Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Ahad mengadakan sidang media di ibu pejabatnya untuk memberikan penjelasan berhubung kerja-kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman menegaskan, pihaknya telah beberapa kali menangguhkan kerja-kerja senggaraan tersebut.
Katanya, kerja senggaraan itu dijadualkan selama 16 jam bermula 8 pagi ini perlu dilakukan untuk memastikan kelangsungan bekalan air.
Namun, Roslan tidak tahu mengapa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terpaksa menghentikan bekalan selama 4 hari sedangkan bekalan elektrik hanya dihentikan selama 16 jam.
BACA: Hampir 3.9 juta pengguna mula hadapi gangguan bekalan air
BACA: Penduduk Lembah Klang desak TNB, Syabas tangguh penyelenggaraan selepas Krismas
Beliau turut mencadangkan syarikat pengendali air berkaitan untuk menaik taraf jana kuasa tunggu sedia (jana kuasa kedua) di loji rawatan air bagi mengelakkan gangguan ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.
Roslan berkata jana kuasa tunggu sedia yang ada ketika ini tidak mampu untuk menjadi sokongan jika kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan.
Ikuti sidang media Roslan yang turut dihadiri Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Wartawan: Apakah alasan yang diberikan sektor air kepada TNB yang meminta penangguhan pada 27 September lalu?
Baharin: Secara umumnya, pihak berkuasa SPAN begitu ambil kira keperluan memastikan kesinambungan bekalan air ke kawasan terlibat. Justeru, keputusan dibuat untuk tangguhkan senggaraan yang dirancang. Bila penangguhan ini berlanjutan dan berterusan beberapa kali, ia mendedahkan kita kepada risiko kegagalan sistem bekalan elektrik pula. Ini terutamanya kesan pada 15 Disember.
Wartawan: Saya ada tiga soalan. Pertama, prosedur operasi standard ditetapkan setiap dua tahun setengah, atau dua tahun lapan bulan atau genap tiga tahun baru senggaraan dibuat? Kedua, Datuk Baharin kata penangguhan telah dibuat beberapa kali? Boleh dapatkan angka tepat penangguhan dilakukan? Ketiga, daripada pukul berapa senggaraan dibuat dan tempoh 16 jam itu akan ditepati TNB?
Baharin: Seperti saya katakan, penutupan jana kuasa akan ambil masa 16 jam di mana mungkin kita akan berusaha sedaya upaya untuk selesaikan dalam tempoh lebih pendek. Saya tak ingat berapa kali sudah tangguh, tapi kita tangguhkan bukan 'saja-saja'. Dari segi SOP, ia perlu disenggara sekali dalam tiga tahun. Jika ia tidak dapat dilaksanakan sebab kekangan-kekangan tadi. Beberapa perkara lagi boleh dibuat. Senggaraan 16 jam dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Wartawan: Datuk, tetapi mengapa gangguan bekalan air berlanjutan hingga empat hari?
Roslan: Dalam media sosial telah diajukan soalan ini. Kita hanya boleh berkata, senggaraan hanya 16 jam. Mengapa hingga 4 hari tiada air, bukan di pihak kami untuk menjawab perkara itu. Elok jika ditanya kepada pihak berkuasa (yang menguruskan bekalan) air. Mereka punyai alasan tertentu.
Wartawan: Kesatuan pengguna cadangkan supaya wujudkan jenerator untuk atasi isu ini.
Baharin: Ada dua isu di situ. Pertama, kemampuan voltage konvensional yang mana keserasian 11kV dan 33kV sedangkan loji berkenaan menggunakan voltan 6.6kV. Jadi ada isu keserasian di situ. Isu kedua adalah kapasiti saiz itu sendiri. Ini bukanlah loji kecil yang boleh bekalkan generator. Ini loji yang besar. 15 mW setiap loji. Semua sekali 57mW. Ia besar.
Wartawan: Apa pendirian TNB dalam menerima penangguhan yang diminta SPAN, SYABAS, SPLASH? Sedangkan premis dan kerja senggaraan tanggungjawab TNB.
Roslan: Saya rasa, untuk adil. Semua utiliti keutamaan pengguna sebagai nombor satu. Sama juga SPAN dan kita. Di mana mungkin kita boleh elakkan ketidakselesaan pengguna, kita akan elakkan. Di mana situasi mengatakan ya, kita boleh tangguh, kita akan tangguh. Berbalik dalam kes ini, kita tangguh dari tarikh asal. Walaupun itu, kita tetap ambil kira apa yang berlaku. Sampai satu peringkat kita tidak boleh tangguh kerana kesannya akan lebih besar.
Wartawan: Jika anda tahu bahawa ini senggaraan berjadual, kenapa mesti ditangguhkan hingga sekarang?
Baharin: Senggaraan yang telah dirancang ditangguhkan selepas diminta oleh SPAN. Kalau kita tangguh lagi ia akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk serta gangguan bekalan elektrik. Ini merupakan kesan titik panas yang perlukan tindakan segera. Kalau tidak disenggara dengan sempurna, ia akan menyebabkan kerosakan lebih teruk.
Wartawan: Saya ulang semula soalan saya, ini merupakan senggaraan berjadual. Dijadualkan pada September, kenapa mesti tunggu sehingga sambutan Krismas?
Baharin: Ia bukan ketatapan kami. Ia adalah keputusan SPAN.
Roslan: Bila SPAN minta untuk tangguhkan senggaraan, keputusan sepakat dibuat adalah pada 19 Disember, tarikh baru.
Wartawan: Jadi memang ditangguhkan hampir tiga bulan sehingga Krismas untuk disenggara?
Roslan: Seperti saya katakan, pihak berkuasa air minta supaya ia ditangguhkan di peringkat awal. Mereka lebih tahu dari segi permintaan dan sebagainya. Jadi mereka beri cadangan dan kita bersetuju untuk tarikh tersebut. Mereka lebih tahu dari segi keperluan pengguna.

#gangguan bekalan air #Hari Krisma #Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) #Tenaga Nasional Berhad (TNB)
;