Sengaja batal puasa untuk berjimak?

Hasimi Muhamad
Mei 13, 2019 10:45 MYT
Dr. Fathul Bari Mat Jahya berpendapat, sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadan maka dia dikenakan kafarah secara tertib. - Gambar FACEBOOK Fathul Bari
SETIAP kali menjelangnya Ramadan, pastinya umat Islam berlumba-lumba untuk mengejar pahala yang berlipat kali ganda kerana bulan ini pintu-pintu syurga dibuka.
Namun, pada bulan penuh kemuliaan ini juga, cabaran yang paling besar dihadapi oleh mereka yang berpuasa adalah untuk menahan nafsu – sama ada makan dan minum atau daripada perkara-perkara yang membatalkan ibadah tersebut.
Dan persoalan yang sering diajukan adalah hukum-hakam yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami dan isteri di siang hari bulan Ramadan dan bagaimana jika sengaja membatalkan puasa untuk bersama dengan pasangan?
Menurut pendakwah terkenal, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, perkara itu perlu dilihat kepada objektif atau niat individu terbabit membatalkan puasa.
Katanya, pendapat yang kuat adalah bahawa sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadan maka dia dikenakan kafarah secara tertib.
Tegasnya, mendahului perbuatan makan dan minum (niat membatalkan puasa) untuk melakukan jimak jatuh kepada hukum asal.
“Sengaja buat benda itu (buka puasa) untuk apa? Balik kepada objektif dia membatalkan puasa (iaitu) untuk berjimak. Maka, dia kategori orang yang berjimak di siang hari bulan Ramadan.
“Sebagaimana dalam hadis Nabi SAW daripada seorang sahabat (Abu Hurairah): “Aku telah menyetubuhi isteriku, padahal aku berpuasa.” Itu objektif dia (lelaki berkenaan),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Maka, jelas Fathul Bari, individu berkenaan perlu membebaskan seorang hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan kepada 60 orang miskin.
Mengulas lanjut, beliau berkata situasi berbeza sekiranya pasangan suami isteri itu melakukan persetubuhan ketika mereka sedang bermusafir atau berbuka puasa disebabkan tidak sihat.
“Kalau contoh dia berbuka puasa kerana bermuasafir tetapi dia mendatangi isterinya, itu tidak mengapa, tiada masalah (tidak dikenakan kafarah).
“Kemudian dia berbuka puasa kerana sakit atau tidak sihat (menyebabkan) dia tidak boleh berpuasa. Tetapi selepas dia makan ubat, dia kembali sihat dan tiba-tiba datang nafsu dan dia mendatangi isterinya lalu bersetubuh. Maka, itu pun tidak menjadi masalah,” ujarnya.
Sementara itu, memetik kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad, hukum mandi junub selepas terbit fajar pada bulan Ramadan disebabkan persetubuhan pada malam hari atau sebelum waktu fajar adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa.
“Ini berdasarkan dalil hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Adalah Rasulullah SAW pernah mendapati fajar telah terbit dan ketika itu beliau dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudian beliau mandi dan berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari (1927) dan Muslim (1106).
#Berjimak di bulan Ramadan #bulan Ramadan #Dr Fathul Bari #Ganti Puasa #Hukum-hakam #Islam #Mufti Wilayah Persekutuan #Pandangan Ustaz #puasa #Umat Islam
;