Senator turut cadang nama Agong untuk jambatan kedua Pulau Pinang

Bernama
Februari 26, 2014 19:13 MYT
Satu lagi cadangan diterima hari ini untuk menamakan Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan nama Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Senator Datuk Boon Som Inong, yang mewakili masyarakat Siam, berkata langkah itu wajar memandangkan jambatan berkenaan yang dibina kerajaan persekutuan dibuka secara rasmi sewaktu pemerintahan Seri Paduka.
Jambatan yang akan dibuka secara rasmi pada 1 Mac itu dibina untuk kegunaan dan kemudahan orang ramai berulang-alik dari tanah besar Semenanjung ke bahagian pulau.
Boon berkata Seri Paduka juga mencatat sejarah kerana menjadi Sultan yang pertama menjadi Yang Di-Pertuan Agong dua kali.
"Jika ditinjau dari segi sejarah pula, kita dapati bahawa Pulau Pinang pada asalnya berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah sebelum diserahkan kepada Kapten Francis Light menerusi satu perjanjian pada 1786.
"Sehubungan itu, menamakan Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan nama Seri Paduka adalah amat sesuai dan wajar sekali memandangkan baginda adalah Sultan Kedah," kata Boon dalam satu kenyataan.
Mengabadikan nama Yang Di-Pertuan Agong pada jambatan itu juga adalah sebagai tanda kasih rakyat Malaysia kepada Seri Paduka selaras dengan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara yang terkandung dalam Rukun Negara, kata Boon.
Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang Isnin lepas telah mencadangkan jambatan itu dinamakan dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Setiausahanya Ahmad Yakqub Nazri berkata pemilihan nama Yang di-Pertuan Agong itu adalah bagi memartabatkan institusi Diraja.
#Agong #Datuk Boon Som Inong #Jambatan Pulau Pinang
;