Senator Ras Adiba Pengerusi baharu Bernama
Bernama
November 24, 2020 13:52 MYT
November 24, 2020 13:52 MYT
KUALA LUMPUR: Senator Ras Adiba Radzi, 52, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu dan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengumumkan perkara itu di sini hari ini, berkata, beliau akan berkhidmat selama tiga tahun berkuat kuasa 23 November (semalam).
Saifuddin berkata, pelantikan bekas personaliti penyiaran berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri itu juga yakin Ras Adiba akan menerajui agensi tersebut ke tahap yang lebih baik di samping meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian berita.
“Sebagai ‘orang lama’ dalam dunia penyiaran, saya yakin beliau punyai cukup pengalaman untuk bantu kita (Bernama) dalam penyampaian berita dan hal ehwal semasa,” katanya.
Ras Adiba yang dilantik sebagai Senator pada Mei tahun ini, menggantikan Suhaimi Sulaiman yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bernama pada 6 Ogos lepas.
Wanita kelahiran Petaling Jaya itu merupakan atlet para negara selain mengetuai OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak orang kurang upaya (OKU). - BERNAMA
#Ras Adiba Radzi
#Pengerusi Bernama
#Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
#agensi berita
#Yang di-Pertuan Agong
#Saifuddin Abdullah
#Suhaimi Sulaiman