Senator dedah barangan kecantikan mengandungi dadah
Bernama
Mei 3, 2016 21:28 MYT
Mei 3, 2016 21:28 MYT
Seorang anggota Dewan Negara hari ini mendedahkan terdapat barangan kecantikan dan kosmetik yang mengandungi dadah yang mudah didapati di pasaran mahupun secara dalam talian.
Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata antara produk yang didapati mengandungi dadah jenis kanabis adalah gincu dan pelembap bibir.
"Kita boleh tengok sekarang terdapat lipstik yang ada (mengandungi) ganja di jual di lapangan terbang. Boleh pergi periksa, bukan saja lipstik, ada juga lip balm, losyen dan minyak yang mengandungi dadah jenis kanabis.
"Kita tidak tahu, kita tidak baca...beli dan ambil sahaja," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 2015 di sini, hari ini.
Beliau juga berkata terdapat laporan mengenai pengedaran gula-gula percuma yang mengandungi dadah di sebuah sekolah di ibu negara yang boleh menyebabkan ketagihan.
Sehubungan itu, melalui penggubalan dan pelaksanaan rang undang-undang itu, beliau berharap langkah-langkah penguatkuasaan bagi menghalang kemasukan dadah ke negara ini dapat diperketatkan.
Senada dengan Mohd Suhaimi, Senator Abdul Shukor Mohd Sultan mengakui bekalan dadah kini mudah diperoleh termasuk melalui laman web.
"Saya tertarik dengan seorang anggota Dewan Rakyat sebelum ini yang mengumpamakan dadah sebagai 'pisang goreng panas' yang mudah diperoleh dengan harga murah. Di kawasan saya pun senang dapat," kata senator dari Perlis itu.
Toleransi sifar
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata kerajaan tetap dengan pendirian mengamalkan toleransi sifar terhadap dadah walaupun terdapat gerakan menghalalkan beberapa jenis 'soft drug' (dadah ringan) di negara Eropah.
Mengambil kira faktor penagih akan mencari dadah yang lebih keras untuk tujuan khayal, katanya, kerajaan tidak akan menghalalkan dadah seperti ganja walaupun dicadang pihak tertentu.
"Jika mengambil kira tabiat penagih, biasanya bila 'soft drug' ini hilang kesannya, mereka akan mencari dadah yang lebih kuat kesan khayalnya, jadi ini akan mendorong penggunaan dadah seperti kokain, heroin dan sebagainya, jadi kita tidak fikir jalan ini (menghalalkan) akan membantu dalam mengurangkan kes ketagihan dadah," katanya.
Sementara itu, Jazlan berkata sejak 2013 hingga tahun lalu, Polis Diraja Malaysia menahan 79 orang 'kingpin' (raja dadah) termasuk 48 rakyat tempatan dengan nilai rampasan sebanyak RM173 juta.
Rang Undang-undang itu kemudian diluluskan.
Terdahulu, persidangan Dewan Negara hari ini turut meluluskan RUU Skim Kepentingan 2015 yang dibentangkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ia bertujuan mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pentadbiran dan pembubaran skim yang berhubungan dengan kepentingan dan perkara berkaitan.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.