Senator Datuk Ras Adiba Radzi dilantik Felow Kehormat di UIAM
Bernama
November 5, 2021 19:10 MYT
November 5, 2021 19:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi dilantik sebagai Felow Kehormat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata pelantikan Ras Adiba sebagai Felow Kehormat Pusat Media dan Komunikasi (COMET) di Abdulhamid Abusulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS IRKHS) sejak Ogos lepas itu berkuat kuasa sehingga Julai tahun depan.
Sepanjang tempoh lantikan itu, Dzulkifli berkata Ras Adiba akan berperanan sebagai penasihat kepada COMET terutama dalam bidang kepakarannya, selain memberi syarahan, seminar atau bengkel kepada pelajar, kakitangan pentabdiran dan akademik atas tajuk-tajuk, selaras dengan bidang kepakaran.
"Felow Kehormat juga akan membantu meningkatkan jaringan kerjasama COMET di peringkat dalam negara dan antarabangsa termasuk agensi-agensi kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ini amat bertepatan kerana dengan pengalaman yang beliau ada, ia sedikit sebanyak dapat membantu COMET dalam pembangunan dan penyelidikan dalam industri media dan komunikasi.
"Selain itu, sebagai Presiden OKU Sentral dan Ahli Dewan Negara yang mewakili OKU, pelantikan beliau sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran pada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi," katanya selepas menyaksikan penyerahan surat lantikan Felow Kehormat itu kepada Ras Adiba di UIAM Kampus Gombak, di sini hari ini.
Surat lantikan itu disampaikan oleh Dekan AHAS IRKHS, Prof Dr Shukran Abd Rahman sempena Majlis Penamaan semua Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan kepada AHAS IRKHS.
Dalam pada itu, Ras Adiba yang tidak menyangka pelantikan berkenaan berhasrat untuk menggunakan sebaiknya penghormatan itu bagi membantu pelajar-pelajar UIAM ke arah yang lebih cemerlang.
"Saya akan berusaha sebaik-baiknya untuk membantu dan menyokong aspirasi UIAM agar pelajar tempatan dan antarabangsa di sini pergi jauh ke peringkat dunia.
Dengan pengalaman yang saya ada, saya akan berkongsi bagaimana mereka boleh menjadi insan luar biasa," kata beliau.
-- BERNAMA