Senator cadang Malaysia usul mesyuarat tergempar isu Rohingya

Bernama
Disember 8, 2016 07:16 MYT
BOON SOM: Kerajaan perlu mengadakan mesyuarat tergempar bersama anggota ASEAN dalam isu berkaitan penindasan etnik Rohingya. - Gambar fail
Seorang senator mencadangkan supaya kerajaan mengadakan mesyuarat tergempar bersama anggota ASEAN, bagi menangani isu berkaitan kekejaman dan penindasan etnik Rohingya di Myanmar.
Datuk Seri Boon Som Inong berkata Malaysia perlu mengambil inisiatif itu agar dapat mencapai kata sepakat dalam menangani isu hak asasi manusia.
"Langkah segera (mesyuarat tergempar) perlu dilakukan demi menjaga nama baik negara-negara anggota Asean yang terkenal sebagai zon aman, bebas dan berkecuali," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di persidangan Dewan Negara, hari ini.
Boon Som mewakili masyarakat Siam itu dan akan mengakhiri tempoh sebagai senator pada 14 Dis ini turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan itu dan menyifatkan perlakuan itu tidak boleh diterima sama sekali.
"Sebagai pemimpin masyarkat Siam dan penganut agama Buddha, saya berasa bimbang dengan penyebaran gambar-gambar mengenai kejadian berkenaan menerusi media sosial.
"Saya bimbang ia akan memberi gambaran yang salah terhadap agama Buddha dan penganutnya," katanya sambil menegaskan tindakan yang dilakukan itu bukanlah daripada ajaran agama itu.
Beliau turut memuji Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingnya di Stadium Titiwangsa pada Ahad lepas, yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana ia dapat membuka mata masyarakat dunia.
"Ini sekali gus menafikan usaha pihak pembangkang di negara ini yang dengan sengaja memperlekehkan tindakan yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri itu," katanya sambil diberikan tepukan meja oleh para anggota dewan lain.
Sementara itu, Senator Datuk Norliza Abdul Rahim berkata anggota negara serantau itu perlu berbincang dengan Myanmar bagi menangani isu itu.
"Saranan saya kepada Myanmar, apabila berlaku masalah sebegini, perbincangan perlulah diadakan supaya masalah dapat diberi perhatian secara serius," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata tindakan kerajaan Myanmar menghentikan penghantaran pekerjanya ke negara ini kerana perhimpunan solidariti itu tidak akan menjejaskan Malaysia.
Beliau berkata tindakan itu hanya akan merugikan Myanmar kerana kebanyakan warganya bekerja dalam pelbagai industri di negara ini.
"Kerajaan Myanmar seharusnya mengambil berat apa yang disuarakan oleh negara sekeliling terutamanya negara anggota ASEAN tentang apa yang berlaku di Myanmar kerana ia adalah sebahagian daripada negara ASEAN," katanya.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dilaporkan sebagai berkata sebarang keputusan Myanmar menghentikan penghantaran pekerjanya ke Malaysia tidak akan memberi kesan buruk kepada negara berikutan rakyat tempatan akan diminta untuk mengisi kekosongan itu.
-- BERNAMA
#ASEAN #boon som inong #Dewan Negara #Rohingya #senator
;