Senario gelombang haba dan 'bikin panas'
Mohd Zaini Othman
Februari 27, 2019 11:12 MYT
Februari 27, 2019 11:12 MYT
PULANG ke kampung halaman di Gerik, Perak hujung minggu lalu membuatkan penulis sentiasa ingin berdamping dengan kipas angin.
Kalau orang kampung, bagi mereka ini petanda sedang berada dalam musim kemarau bila panas teriknya tidak seperti selalu dan pokok getah mula togel bila daun-daunya jatuh berguguran.
Musim ini penoreh getah pun ‘gantung pisau menoreh’ kerana susu getah tidak seberapa, jadi makin terhimpit kewangan kerana hasil jualan susut ditambah harga getah pula masih rendah.
Bagi orang meteorologi, ada jawapan mengapa bahang panasnya buat semua tidak senang duduk dan berpeluh satu badan seperti masuk sauna.
Ia adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut hingga akhir Mac.
Kekurangan atau ketiadaan hujan menyebabkan suhu naik sekitar 34 hingga 36 darjah Celcius berbanding suhu biasa antara 32 hingga 34 darjah Celcius.
Informasi terkini Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan beberapa kawasan di Malaysia mengalami gelombang haba Tahap 1 iaitu berjaga-jaga.
Sepuluh kawasan dilaporkan mengalaminya antaranya Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Sik, Kota Setar, Kubang Pasu dan Chuping.
Suhu yang dicatat dikawasan ini mencecah 36.9 darjah Celcius, jadi penulis memahami mengapa panas di Gerik (Hulu Perak) tidak seperti di Nilai di mana penulis tinggal.
Menempuh cuaca panas sebegini, kesihatan tubuh badan mesti dijaga dengan baik iaitu dengan memperbanyakkan meminum air kosong bagi mengekalkan hidrat tubuh badan dan mengurangkan aktiviti luar rumah.
Satu lagi yang perlu dielakkan adalah membuat pembakaran terbuka dan tidak terkawal bagi mengelakkan tercetus pula kebakaran yang besar dan memberi kemusnahan.
Dalam suasana gelombang panas ini, senario semasa yang berlaku dalam negara menambah lagi bahangnya dengan beberapa perkembangan terkini yang ‘bikin panas’ rakyat berdasarkan pemerhatian penulis.
Sikap tidak menghormati dan menjaga sensitiviti agama Islam kembali mencetus amarah umat Islam khususnya orang Melayu.
Hantaran di Facebook yang menghina keperibadian Nabi Muhammad SAW disifatkan amat melampau.
Pelakunya sudah masuk kategori warga emas telah ditahan polis tetapi dibebaskan dengan jaminan.
Keterangan saksi-saksi inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib juga ibarat membuka kembali luka lama.
Harapan kepada pihak berkuasa agar pelaku kedua-dua kes ini kelak dikenakan hukuman yang berat dan setimpal.
Melewati sembilan bulan Pakatan Harapan (PH) memimpin Malaysia Baharu, harapan rakyat masih belum pudar untuk melihat setiap manifesto yang dijanjikan dapat ditunaikan.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan cadangan pemansuhan tol di beberapa lebuhraya di Lembah Kelang dengan digantikan mekanisme caj kesesakan.
Keluhan rakyat adalah untuk disemak kembali waktu tol percuma dan kadar caj bayaran yang dikenakan.
Jika pemansuhan tol secara total sesuatu yang mustahil dengan ekonomi negara kini, alternatif yang ditagih ialah pengurangan kadar tol.
Walaupun sekitar 40 sen hingga 90 sen misalnya, tetapi bagi pengguna tegar tol, ini rahmat yang besar.
Senario politik tanah air juga membuatkan rakyat gelisah kerana ketidakstabilan politik negara akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur.
Ketika UMNO dan PAS dilihat makin akrab di blok pembangkang, rakyat menghidu adanya gelora dalam rumah tangga PH.
Kelantangan beberapa pemimpin parti komponen menghentam Tun Dr Mahathir Mohamad dan sesama mereka secara terbuka seperti ada yang tidak kena dengan ‘perkahwinan' ini seperti kata pepatah ‘jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang’.
Tetapi itulah unik dan seninya politik, hari ini bercakaran hebat ataupun puluhan tahun bermusuh ketat, di satu masa boleh kembali berpeluk mesra dan berjabat erat.
Satu kebetulan satu musim lagi yang sedang melanda negara ialah musim pilihanraya kecil.
Baru selesai di Cameron Highland, kini sedang berlangsung Semenyih dan menyusul di Rantau, Negeri Sembilan pula.
Pesan penulis, tunaikan kewajipan sebagai pengundi dan buat pilihan yang bijak!
* Penulis adalah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ihtisas (PRAGMATIS) USIM
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.