Senarai barangan dalam Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia dikaji berterusan

Bernama
Disember 4, 2021 04:38 MYT
Rosol menunjukkan senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia semasa sidang media pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Kuala Berang, 4 Dis 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Senarai barangan dalam Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang berkuat kuasa 7 hingga 31 Dis ini akan dikaji secara berterusan sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata penambahan atau pengurangan barangan dalam senarai tersebut yang ketika ini melibatkan ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayuran dibuat berdasarkan penilaian semasa situasi pasaran.
"Selain itu, harga mungkin berbeza mengikut negeri kerana ia dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira pelbagai faktor seperti perubahan harga, khususnya barangan import," katanya pada sidang media program Jualan #Keluarga Malaysia Parlimen Hulu Terengganu, pada Sabtu.
Selain itu, Rasol berkata menerusi SHMKM, kerajaan menetapkan harga maksimum ayam standard pada RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi, berkuat kuasa Selasa depan.
Dalam pada itu, Rosol berkata kerajaan masih meneruskan operasi seperti Ops Menu, Ops Catut, Ops Rantai dan Ops Pasar 2 bagi memastikan kestabilan harga barang di pasaran.
Di JOHOR, Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP Putrajaya Aris Mamat berkata kementerian meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi, terutama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam usaha menstabilkan kembali harga barangan keperluan harian.
Beliau berkata usaha itu bagi mengurangkan beban pengguna yang terkesan susulan peningkatan harga pelbagai barangan keperluan sejak kebelakangan ini, namun mengakui harga sayur, ikan dan ayam, tidak menunjukkan banyak perbezaan di seluruh negara.
"Ada juga peniaga yang masih mengekalkan harga seperti daging import dan kita tidak menolak antara faktor kenaikan harga ketika ini disebabkan permintaan tinggi, tetapi bekalan kurang," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan tinjauan harga barangan keperluan Harian di Pasar Awam Batu Pahat, hari ini.
Sementara itu, PERAK bercadang untuk memperluas Program Jualan #Keluarga Malaysia ke seluruh negeri dengan menambah jenis barangan bagi membolehkan rakyat membeli barang keperluan asas pada kadar 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata sambutan program hari ini amat menggalakkan.
"Pihak kita sedang menyusun program sebegini di kawasan tumpuan orang ramai dan mudah dikunjungi. Mungkin di setiap daerah kita akan buat program ini," ketika ditemui pemberita pada Program Jualan #Keluarga Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, hari ini.
Di KELANTAN, Program Jualan #Keluarga Malaysia yang diadakan di Lubok Jong, Pasir Mas yang bermula 8 pagi hingga 1 petang mendapat sambutan hangat dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung.
Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abd Rahman berkata antara agensi terlibat dalam program kali ini adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selain syarikat swasta.
"Tindakan kerajaan melaksanakan Program Jualan #Keluarga Malaysia dengan jualan barangan keperluan asas pada kadar 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran adalah tepat dan memang dinantikan oleh rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata konsep diadakan kali ini akan dilaksanakan di seluruh Kelantan melibatkan 14 kawasan parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan terutama di kawasan bandar, pinggir bandar dan pedalaman.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan akan menganjurkan program Jualan #Keluarga Malaysia di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak bermula hari ini sebagai antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.
Menurut perdana menteri pada peringkat permulaan, program itu yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 dan 50 peratus disasar diadakan dua kali setiap bulan memfokuskan kepada kawasan ramai penduduk daripada golongan B40 dan M40.
-- BERNAMA
#Rosol Wahid #harga barang #Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia #peniaga
;