Senapang patah milik RELA dijual antara RM1,000 hingga RM3,000
Astro Awani
Mac 28, 2017 17:23 MYT
Mac 28, 2017 17:23 MYT
Polis sedang memburu 12 lagi individu dipercayai berkemungkinan memiliki senjata api milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang hilang dari setor RELA Wilayah Utara Bukit Selambau, Sungai Petani.
Mereka yang diburu dipercayai masih berada di sekitar Perak.
Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, mana-mana individu yang memiliki senjatapi tanpa lesen terbabit diminta menyerahkan semula kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya atau tangkapan akan segera dilakukan ke atas individu berkenaan.
Menurut beliau lagi, senapang terbabit telah dijual antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap laras.
"Dia jual antara RM1,000 hiingga RM3,000 (dan ia) sangat murah tetapi hukuman dia sangat berat. Ini perlu pihak media perjelaskan kepada semua bahawa penjualan dan pemilikan senjata api tanpa lesen hukumannya berat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Polis juga katanya mendapati aktiviti penjualan senjata api yang didalangi seorang pegawai RELA dari Selama, Perak itu melibatkan kenalan pegawai terlibat daripada kalangan anggota RELA sendiri dan orang awam.
Asri berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memperdagangkan senjata api yang sabit kesalahan adalah hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang enam kali sebatan.
"Kita juga menyiasat 13 suspek lagi di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat (PLB) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali serta seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru yang boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Asri berkata, setakat ini pihak polis masih lagi memburu suspek dan mengesan 12 laras senapang patah yang masih hilang.
"Kita sudah pun kenal pasti mereka ini di sekitar Perak dan kita seru mereka tampil dan menyerahkan senjata api tanpa lesen ini di balai polis berdekatan," katanya.
Menurutnya setakat ini 14 senapang patah milik RELA telah berjaya di rampas dari 14 suspek berusia 29 hingga 56 tahun.
"Jika mengikut pecahan tangkapan, kita menahan enam orang di sekitar Taiping, enam lagi di sekitar Selama, dua orang di sekitar Kerian, seorang di Gerik (Perak) manakala dua suspek di Kuala Muda, Kedah.
"Kita juga merampas 300 butir peluru tabur jenis 12 bolt. Siasatan polis kini menjurus apa tujuan senjata api itu dimiliki sama ada ada kaitan unsur militan atau tidak," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini kesemua suspek masih direman untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di mahkamah di daerah suspek ditangkap. -- Bernama