Senapang patah dalam proses pindah milik - Polis

Adie Sufian Zulkefli
Disember 14, 2017 16:38 MYT
Puteri Intan Sharini Mohd Hishamudin, 8, maut tertembak senapang patah milik moyangnya di rumah datuk mangsa di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah
Kecuaian menjaga dan menguruskan senjata api menjadi punca kematian, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamudin, 8, yang terkena tembakan senapang patah milik moyangnya selepas terjatuh dari rak.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, siasatan awal polis ke atas dua suspek yang juga bapa saudara mangsa mendapati senapang patah itu dalam proses pindah milik dan permohonan lesen baharu untuk dimiliki suspek.
"Pihak polis sedang meneliti pertimbangan terhadap permohonan pindah milik senjata itu dengan melihat faktor-faktor umur si pemilik selain keselamatan senjata itu sendiri.
"Untuk makluman, senjata masih dimiliki moyang mangsa Saidin Hamid, 80, dan tempoh sah lesen sehingga Jun 2018," katanya kepada Astro AWANI
BACA: Maut tertembak senapang patah, datuk dan bapa saudara direman
BACA: Kanak-kanak maut tertembak senapang patah moyang
Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, Puteri Intan Sharini maut selepas senapang itu terjatuh dan picunya tertekan lalu mengenai sebelah kiri kepala mangsa yang ketika itu sedang baring menonton televisyen di ruang tamu rumah datuknya.
Keputusan bedah siasat pihak Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala selepas peluru menebusi kepala mangsa.
Sehubungan itu beliau menasihati pemilik senjata api supaya mengawal serta menjaga senjata terbabit dengan baik kerana dengan sedikit kecuaian ia mengundang padah.
#bapa saudara #Datuk #kecuian #moyang #polis #reman #senapang patah #tembak #tertembak
;