Semuka dengan saya - Soi Lek
Hasbullah Awang Chik
Mei 21, 2013 16:07 MYT
Mei 21, 2013 16:07 MYT
Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek hari ini meminta pihak yang meminta beliau untuk meletakkan jawatan agar bersemuka sendiri dengan dirinya.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli veteran ini. Golongan ini faham bahawa saya dipilih oleh perwakilan MCA.
"Jika mereka prihatin, mereka perlu berjumpa dengan saya dan bukan dengan membuat kenyataan secara terbuka," jelas Soi Lek dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti tersebut.
Soi Lek memberitahu pihak yang menggesa beliau untuk berundur tidak tampil membantu MCA.
"Tiada seorang manusia pun datang walaupun dijemput baik sewaktu ulang tahun MCA mahupun sewaktu parti sibuk berkempen.
"Generasi baru MCA yang perlu menanggung beban kesalahan veteran berkenaan. Jika mereka prihatin dan sayangkan MCA, usaha mereka disanjung tinggi," ujar Soi Lek.
Dalam sidang media itu juga, MCA mengumumkan tarikh pemilihan perwakilan yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
"Pemilihan di peringkat cawangan akan berlangsung pada 15 Julai manakala pemilihan di peringkat pusat pada 21 Disember dan mesyuarat agung tahunan parti MCA pada 22 Disember.
"Tempoh pemilihan selama lima bulan adalah disebabkan proses pameran, pendaftaran ahli dan bantahan sekiranya nama tiada dalam jadual.