Semua wakil rakyat Johor perlu jalani ujian RTK setiap hari sepanjang sidang DUN
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 17, 2021 18:44 MYT
Ogos 17, 2021 18:44 MYT
JOHOR BAHRU: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen setiap hari sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula.
Menurut Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, penghadang lutsinar juga dipasang di setiap tempat duduk ADUN juga dipasang dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.
"Kita juga menggalakkan ADUN tinggal di hotel berdekatan sepanjang tempoh persidangan bagi mengelakkan (mereka) ulang alik ke kawasan mereka dan berisiko," kata beliau ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, sidang DUN Johor akan tetap berjalan seperti yang dijadualkan pada 22 hingga 25 Ogos ini walaupun keadaan politik negara masih tidak stabil.
Kata Suhaizan, buat masa ini juga tiada perubahan pada jadual persidangan DUN negeri itu selepas berehat selama seminggu, sejak Khamis lalu.
Beliau berkata, langkah merehatkan sidang DUN Johor adalah bagi membolehkan penilaian risiko kesihatan serta prosedur standard operasi (SOP) lebih ketat dilaksanakan.
"Ia akan disambung 22 Ogos atau Ahad ini. Ia akan berlangsung selama empat hari,sehingga 25 Ogos depan namun tempoh persidangan hanya mengambil masa separuh hari hingga hari terakhir sidang,” kata Suhaizan.
Khamis lalu, Suhaizan dilaporkan mengarahkan sesi persidangan dewan supaya direhatkan selama seminggu dan bersambung pada 22 Ogos ini, ketika menangguhkan persidangan pada hari pembukaan sidang DUN Johor yang dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menjelaskan, penangguhan DUN Johor terpaksa dibuat berikutan perlunya pematuhan SOP dipertingkatkan bagi mengelakkan insiden di Parlimen sebelum ini, berlaku pada sidang DUN negeri itu kali ini.
"Bagi mempertingkatkan lagi, pematuhan SOP, keperluan seperti pemasangan cermin lut sinar, bilangan yang boleh hadir, kaedah sebelum hadir ke dewan dan sewaktu persidangan antara yang akan diteliti dan dipatuhi," kata Hasni.
#Dewan Undangan Negeri
#DUN Johor
#wakil rakyat Johor
#ujian RTK-Antigen
#persidangan dewan undangan negeri
#Speaker DUN Johor
#Suhaizan Kaiat