Semua taman hutan di Kedah ditutup sementara

Adie Sufian Zulkefli
Disember 20, 2022 11:10 MYT
Semua kawasan terbabit termasuk Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam HSK. - Foto fail
ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah mengarahkan semua taman hutan dan hutan simpan kekal (HSK) di seluruh negeri ditutup sementara sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak berlaku insiden yang tidak diingini susulan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali di Selangor.
Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali
Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah berkata semua kawasan terbabit termasuk Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam HSK.
Beliau berkata, JPNK mengambil keputusan untuk menutup sementara semua TER, HTN dan kawasan pendakian dalam HSK sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
"Aktiviti rekreasi yang dimaksudkan adalah termasuk pendakian gunung, aktiviti sukan lasak berkenderaan dan lain-lain jenis aktiviti riadah.
"Penutupan sementara ini adalah untuk mengelak sebarang kemalangan disebabkan kejadian bencana atau kemalangan seperti pokok tumbang, tanah runtuh, kejadian lemas, fenomena kepala air dan sebagainya yang akan mengancam nyawa dan keselamatan orang awam serta pengunjung ke kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, TER dan HTN yang ditutup adalah dibawah pengurusan JPNK yang membabitkan TER Bukit Wang, daerah Kubang Pasu, TER Puncak Janing di daerah Padang Terap, TER Sungai Teroi, daerah Yan, TER Lata Mengkuang, di Sik, TER Sungai Rambai, daerah Pendang, TER Tupah, daerah Kuala Muda, TER Bukit Hijau dan Lata Bayu di daerah Baling dan TER Ulu Paip, daerah Kulim serta Taman Negeri Ulu Muda.
Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 15 kawasan pendakian yang ditutup sementara bagi sebarang aktiviti pendakian iaitu Gunung Jerai, Gunung Kemerlong, Bukit Perak, Bukit Enggang, Bukit Saiong, Gunung Bintang, Bukit Besar Kulim, Bukit Batu Merah, Bukit Fakir Terbang, Bukit Air Terjun Lebai Husin, Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya (Tangga Helang Seribu) dan Bukit Batu Licin (Pulau Tuba).
"Penutupan sementara ini tidak termasuk TER yang telah diswastakan kepada operator yang dilantik oleh kerajaan negeri.
"Sebanyak 10 TER di Kedah telah diswastakan iaitu TER Pasir Tengkorak, Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Tasik Dayang Bunting, Gua Cherita di Langkawi, TER Seri Perigi, Titi Hayun dan Batu Hampar di Yan, TER Perangin Sik dan TER Sungai Sedim, di Kulim.
"Bagaimanapun, dinasihatkan juga supaya pihak syarikat dan operator memberhentikan pengoperasian buat sementara waktu di kawasan itu," ujarnya.
Muhamad berkata tanggungjawab bagi menjaga keselamatan para pengunjung di TER yang telah diswastakan adalah tertakluk kepada pihak operator masing-masing.
Katanya, JPNK tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang insiden kemalangan dan kecelakaan yang berlaku sepanjang musim tengkujuh ini.
Pihaknya berharap agar semua para pengunjung mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh JPNK untuk keselamatan semua.
#hutan di Kedah tutup sementara #JPNK #taman hutan #Muhamad Abdullah
;