Semua syarikat agensi KKDW rekod keuntungan tahun ini

Ridauddin Daud
Oktober 30, 2024 14:25 MYT
Menurut Rubiah, prestasi Ketengah Holding Sdn Bhd antara yang boleh dibanggakan, berjaya merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM53.8 juta setakat September, menghampiri sasaran RM55 juta ditetapkan.
KUALA LUMPUR: Semua syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya mencatatkan keuntungan dalam tahun kewangan bagi tahun 2024.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, prestasi itu jauh lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini apabila semuanya berjaya merekodkan hasil positif pada tahun ini.
Menurutnya, prestasi Ketengah Holding Sdn Bhd antara yang boleh dibanggakan, berjaya merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM53.8 juta setakat September, menghampiri sasaran RM55 juta ditetapkan.
Tambah beliau, Felcra Berhad Sdn Bhd pula mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM116.27 juta setakat September tahun ini, berbanding RM41.61 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Tegas Rubiah, antara faktor penyumbang kejayaan semua anak syarikat itu adalah kerana mengamalkan tatakelola yang baik, seperti disarankan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Yang kedua, dari sudut penetapan pelan perniagaan anak-anak syarikat tersebut lebih terancang dan mempunyai daya dan berdaya maju.
“Maksudnya aktiviti, program perniagaan yang diberi itu mempunyai unjuran keuntungan yang lebih positif kepada organisasi.
“Ketiga, pelan perniagaan yang dipilih itu selari dengan motif, objektif, dasar KKDW dan negara.
“Pertamanya, dari sudut keterjaminan makanan. Kedua, pembangunan hartanah. Ketiga, agropelancongan dan juga pelbagai aktiviti lain yang menguntungkan agensi-agensi berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, melihat prestasi memberangsangkan pada tahun ini, Rubiah berkata KKDW akan menetapkan sasaran baharu buat semua anak syarikat itu.
Jelasnya, ia dijangka diumumkan pada sesi pemukiman seterusnya pada Januari tahun depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemukiman Syarikat Mengikut Agensi dan Lembaga Kemajuan Wilayah KKDW di Kuala Lumpur pada Rabu.
#Rubiah Wang #KKDW #FELCRA #Ketengah
;