Semua stesen KTM akan dilengkapi lif

Bernama
Mac 1, 2023 04:20 MYT
Anthony berkata, usaha itu bagi memudahkan warga emas, wanita mengandung dan orang kurang upaya (OKU) menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. - Gambar fail/BERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pengangkutan akan memastikan semua stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di seluruh negara mempunyai kemudahan lif dalam usaha memudahkan warga emas, wanita mengandung dan orang kurang upaya (OKU) menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Menterinya, Anthony Loke, berkata kemudahan tersebut menjadi keutamaan pihaknya dalam usaha menaik taraf dan menambah baik kemudahan yang terdapat di stesen berkenaan.
Dalam masa sama, katanya, pihaknya akan melihat keperluan stesen yang perlu dinaik taraf atau diperbesarkan bagi menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah.
"Baru-baru ini ketika meninjau (stesen KTM), saya ada terjumpa seorang wanita mengandung dan disebabkan tiada kemudahan lift, pihak pengurusan buka pintu laluan khas di bawah untuk memudahkannya melintas.
"Sebab itu saya kata penting kemudahan lif kerana memang terdapat stesen yang tiada lif, kalau kita nak galakkan rakyat guna perkhidmatan awam kita perlu tambah baik perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Stesen KTM Bukit Mertajam, di sini, pada Rabu.
Berhubung kesesakan di stesen berkenaan ketika waktu puncak, Loke berkata memang ada perancangan menaik taraf pada masa depan dan memerlukan kos yang tinggi.
"Bagaimanapun, kita akan bincang dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk mencari penyelesaian dalam hal ini," katanya.
Sementara itu, Loke, berkata penambahan kekerapan perjalanan KTM Komuter Sektor Utara sejak 18 Feb lalu telah meningkatkan jumlah penumpang daripada 10,480 orang setiap hari kepada 11,224 pengunjung iaitu meningkat tujuh peratus.
Katanya, penumpang di sektor utara dan kawasan sekitarnya tidak perlu lagi menunggu lebih lama di stesen dan ini dapat menjimatkan masa untuk mereka tiba ke destinasi lebih awal iaitu kira-kira sejam.
"Jadual waktu perkhidmatan KTM laluan Padang Besar ke Butterworth ditambah baik dengan peningkatan kekerapan dari 60 minit kepada 20 minit pada waktu puncak pagi dan dari 60 minit kepada 30 minit pada waktu puncak petang dan sebaliknya pula, jadual perkhidmatan dengan kekerapan pada setiap 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang.
"Kekerapan perkhidmatan tren Komuter Utara laluan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas akan ditambah baik dengan penambahan kekerapan di ruang luar waktu puncak pada setiap 120 minit berbanding 180 minit kekerapan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata ia menjadikan jumlah perkhidmatan bagi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar meningkat dari 26 perjalanan kepada 36 perjalanan dan bagi laluan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas daripada 12 kepada 16 perjalanan sehari.
Menurut Loke, penambahbaikan KTM Komuter utara itu telah dapat memenuhi keperluan dan permintaan penumpang yang semakin tinggi dengan menggunakan perkhidmatan komuter untuk berulang alik terutamanya ke tempat kerja.
"Berdasarkan tinjauan, ramai mereka yang tinggal di Kedah dan Perlis bekerja di Pulau Pinang dan menjadikan komuter sebagai pilihan mod pengangkutan.
"Nampaknya sejak pertambahan kekerapan dan perjalanan komuter memudahkan mereka, lagipun peluang pekerjaan yang banyak di Pulau Pinang menjadi pilihan mereka untuk bekerja di sini," katanya.
-- BERNAMA
#stesen KTM #kemudahan lif #Anthony Loke #naik taraf
;