Semua sekolah di Perak beroperasi seperti biasa pada Jumaat

Abd Razak Mohd Ali
September 19, 2019 20:49 MYT
Pihak sekolah juga diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa. - Gambar fail
Semua sekolah di Perak akan kembali dibuka seperti biasa pada Jumaat ekoran keadaan jerebu semakin baik setakat petang Khamis.
Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Stesen Taiping pada jam 5 petang Khamis menunjukkan di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun.
“Semua sekolah di daerah Larut Matang dan Selama, Kerian, Kuala Kangsar dan Hulu Perak akan kembali beroperasi seperti biasa pada hari esok iaitu Jumaat, 20 September 2019,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada petang Khamis.
Menurutnya, sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Mohd Suhaimj berkata, pihak sekolah juga diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.
Pada Khamis, sebanyak 250 sekolah di empat daerah berkenaan ditutup berikutan keadaan jerebu bertambah buruk yang melanda.
Sebelum itu, pada Rabu, 303 sekolah di daerah Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah ditutup berikutan kualiti udara di kawasan itu menunjukkan IPU melebihi 200.
Bagaimanapun, ia dibuka semula pada Khamis selepas bacaan kembali menurun di bawah 200.
#Indeks Pencemaran Udara #IPU #jerebu #operasi sekolah #sekolah #sekolah perak
;