Semua restoran disaran henti jual rokok

Astro Awani
Januari 19, 2019 13:55 MYT
Pengusaha restoran di negara ini disaran menghentikan penjualan rokok bagi menyahut seruan kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Jan lepas. -Gambar hiasan
Pengusaha restoran disaran menghentikan penjualan rokok di premis mereka bagi menyahut seruan kerajaan susulan penguatkuasaan larangan merokok di kedai makanan bermula 1 Jan lepas.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata inisiatif yang diambil sebuah restoran nasi kandar ternama perlu disokong dan wajar dicontohi pengusaha lain.
"Jika kita lihat di United Kingdom, rokok biasanya tidak dijual secara umum, sebaliknya dijual di tempat khas.
"Lagipun jika kita lihat penjualan rokok di kaunter restoran tidaklah memberi margin keuntungan yang besar, jadi saya yakin tiada masalah jika setiap restoran menghentikan penjualannya dan mencari inisiatif lain yang boleh membantu beri keuntungan kepada restoran," katanya dalam laporan Bernama pada Sabtu.
Sebuah restoran nasi kandar terkenal baru-baru ini dilapor menghentikan penjualan rokok di kesemua 28 cawangannya di seluruh negara berkuat kuasa 16 Jan lepas.
#Nadzim Johan #pengusaha restoran #Permas #PPIM #Restoran Pelita Samudra Pertama #rokok
;