Semua rakyat Sarawak mesti diberi vaksin tidak kira status MyKad - Undi Sarawak
Syafik Shukri Jalil
Jun 19, 2021 17:26 MYT
Jun 19, 2021 17:26 MYT
KUALA LUMPUR: Suntikan vaksin COVID-19 perlu diberikan secara menyeluruh tanpa unsur berat sebelah dan pengedarannya tidak boleh membezakan identiti, latar belakang dan kewarganegaraan seseorang.
Demikian tegas Undi Sarawak yang menzahirkan kekecewaan selepas terdapat dakwaan mengenai penduduk asal Sarawak tidak diterima untuk divaksin di sebuah pusat vaksinasi COVID-19 kerana tidak mempunyai kad pengenalan pada 18 Jun 2021.
Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Undi Sarawak turut mengecam tindakan tersebut sekiranya terbukti benar.
‘’Virus COVID-19 tidak membezakan dan tidak peduli jika mangsanya tidak memiliki kad pengenalan Malaysia.
‘’Masalah tidak memiliki MyKad sepatutnya tidak menghalang Kerajaan Negeri Sarawak daripada usaha memastikan semua penduduk asal Sarawak yang tidak memilikinya menerima suntikan vaksin.
‘’Sekiranya kerajaan negeri dapat menyesuaikan pendekatan "suntik dahulu, daftar vaksin kemudian", jadi pendekatan "suntik dahulu, daftar MyKad dan vaksin kemudian" seharusnya tidak menjadi masalah dalam pelancaran vaksinasi,” katanya.
Selain itu, Undi Sarawak menyarankan agar pasukan petugas imunisasi COVID-19 di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak meneliti isu ini dan memastikan hasil siasatan diumumkan.
Seterusnya menyediakan rancangan yang boleh dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan semua komuniti di negeri itu khususnya komuniti asal yang tidak berdokumen diberi akses menerima suntikan vaksin.
“Kami juga cakna terhadap isu tiada sijil lahir dan kewarganegaraan yang terus membimbangkan di Sabah dan Sarawak.
‘’Di sini, Undi Sarawak ingin menyatakan yang masalah tersebut bukanlah penghalang bagi Sarawak untuk mencapai imuniti kelompok dan menafikan vaksin untuk penduduk asal Sarawak tanpa MyKad dari luar bandar.
‘’Sekiranya kita benar-benar berpegang kepada slogan "Lindungi Diri, Lindungi Semua", kita perlu memastikan lebih 60,000 penduduk asal Sarawak khususnya di kawasan pedalaman tanpa mengira status mereka diberi peluang dan akses untuk melindungi diri daripada virus COVID-19,’’ tambahnya.
#vaksin COVID-19
#COVID-19 di Sarawak
#PICK di Sarawak
#isu vaksinasi di Sarawak
#penduduk asal Sarawak
#tiada MyKad
#Undi Sarawak