Semua pusat tahfiz di kawasan Titiwangsa akan dipantau - Johari

Nursyazwani Saiful Sham
September 14, 2017 13:55 MYT
Datuk Seri Johari kesal dengan kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. -Gambar fail
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan memantau semua pusat tahfiz dalam Parlimen berkenaan.
Menurut Johari, tragedi subuh yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah perlu dijadikan iktibar kerana ia sesuatu yang boleh dielakkan.
‘’Pusat ini hanya ada satu pintu dan tiada pintu kecemasan dan ini menjadi punca kenapa pelajar tidak dapat menyelamatkan diri.
“Saya akan memastikan pihak yang mengendalikan penempatan akan menyediakan pintu kecemasan agar perkara ini tidak berulang lagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.
Katanya lagi, apa yang terjadi amat dikesali kerana kewujudan tahfiz berkenaan diterima baik oleh masyarakat setempat.
Ujarnya, pelajar tahfiz itu sering dijemput menghadiri pelbagai majlis keagamaan oleh penduduk sekitar atau pihak-pihak dari kawasan lain.
“Saya akan berjumpa dengan ibu bapa mangsa dan akan membantu mereka terutama daripada segi kewangan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berharap proses pengecaman dan identifikasi mayat mangsa dapat diuruskan dengan segera.
#JOHARI ABDUL GHANI #Parlimen #pusat tahfiz #Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah #tahfiz #Titiwangsa