Semua projek baharu di bawah KPKT wajib ada kajian kebolehlaksanaan

Bernama
Mac 12, 2023 05:11 MYT
Nga berucap pada majlis Penutup Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2023 di Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, 12 Mac 2023. -- fotoBERNAMA
IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan bermula tahun ini semua projek baharu di bawah kendalian kementerian itu wajib menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengelakkan daripada berlakunya projek 'gajah putih'.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kajian kebolehlakasanaan secara berkecuali penting untuk dilakukan secara profesional supaya semua projek baharu yang bakal dilaksanakan menepati kriteria ditetapkan.
"Malah dengan pendekatan baharu ini, tidak ada lagi (projek) gajah putih yang terbengkalai seperti dahulu," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2023 bertemakan Perbandaran MADANI-Rakyat Sejahtera di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya keseriusan isu berkenaan projek gajah putih yang berlaku akibat kurangnya pelibatan orang awam.
Nga berkata KPKT akan cuba menyelamatkan projek gajah putih yang terbengkalai sebelum ini, namun berasa amat kesal sekiranya ia tidak dapat dilakukan.
Menurut Nga, KPKT kini memberi fokus kepada menaik taraf projek sedia ada seperti penaiktarafan pasar awam dalam menuju ke tahap negara maju seiring kemajuan negara.
Nga berkata pihaknya pasti akan melakukan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif bagi memastikan tiada lagi projek yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan.
Terdahulu dalam ucapannya, Nga berkata rakyat perlu sentiasa dilibatkan dalam perancangan pemajuan bandar kerana suara mereka iaitu pendekatan dari bawah ke atas membolehkan PBT benar-benar membangun dan memajukan bandar berdasarkan keperluan rakyat.
"Lantaran itu, suka saya menegaskan sekali lagi, Peruntukan Berlandaskan Pelaksanaan adalah penting bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan dapat terus dipertingkatkan.
"KPKT akan mempertimbangkan projek baharu melalui pelaksanaan kajian berdasarkan Pulangan Pelaburan; Analisis Kos Faedah; Indeks Kesahan dan Kebolehpercayaan; dan Kajian Kebolehlaksanaan," katanya.
Dapatan kajian tersebut menurut Nga akan memberi fokus yang jelas dan nyata serta menghindarkan ketirisan perbelanjaan atau senario projek gajah putih.
-- BERNAMA
#KPKT #projek gajah putih #Nga Kor Ming #kajian kebolehlaksanaan
;