Semua program UPM ada akreditasi - MQA

Astro Awani
Mei 29, 2021 22:26 MYT
Mohammad Shatar berkata, semua program yang ditawarkan UPM sudah mendapat akreditasi menerusi Senat UPM sendiri. - Gambar fail/ Instagram @uniputramalaysia
KUALA LUMPUR: Semua program di Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah mendapat akreditasi menerusi senatnya sendiri kerana universiti itu mempunyai status swaakreditasi (self-accreditation) diberikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata universiti dengan status swaakreditasi telah diluluskan boleh melakukan proses akreditasi sendiri.
Beliau berkata, bagi memastikan jaminan kualiti program ditawarkan mengikut standard maksimum, MQA membuat audit secara berkala di universiti yang dianugerahkan status swaakreditasi.
"Sehingga kini, MQA tidak menghadapi masalah dengan universiti berstatus swaakreditasi ini termasuklah UPM kerana semua program ditawarkan sudah mengikut piawaian ditetapkan.
"Apabila sudah memastikan program ditawarkan berada pada tahap terbaik, universiti berkenaan perlu menghantar program terbabit ke MQA untuk didaftarkan dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR)," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak yang mengatakan program ditawarkan UPM tidak mendapat pengiktirafan di luar negara, baru-baru ini.
Mohammad Shatar menjelaskan, di negara ini terdapat 20 universiti awam (UA) dan ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), namun tidak semua mendapat status swaakreditasi daripada MQA.
Katanya, lima universiti penyelidikan negara mempunyai status itu termasuk UPM dan beberapa lagi universiti swasta tempatan.
"Dengan status swaakreditasi, IPT berkenaan boleh menawarkan program yang dirasakan bersesuaian dan mendapat permintaan tinggi selepas melalui proses akreditasi serta dipersetujui senat universiti," katanya.
"Rekod di MQR hanya untuk tujuan pendaftaran supaya boleh disemak oleh pihak luar dan mudah dijadikan rujukan sama ada sesebuah program itu sudah mendapat akreditasi atau sebaliknya," katanya.
#UPM #akreditasi #Universiti Putra Malaysia #swaakreditasi #Agensi Kelayakan Malaysia #MQA
;