Semua PPV diarah terima pekerja warga asing ada janji temu sah - Khairy

Astro Awani
Julai 16, 2021 21:30 MYT
Khairy mengesahkan pekerja warga asing yang memiliki janji temu yang disahkan tidak perlu divaksin melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas). - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara untuk menerima pekerja warga asing yang mempunyai pengesahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, arahan tersebut dikeluarkan berikutan terdapat aduan yang mendakwa pekerja warga asing diarah pulang dari PPV tertentu walaupun mereka sudah mendapat pengesahan janji temu.
"Kerajaan menerima aduan mengenai pekerja warga asing. Kami sudah mengarahkan semua PPV, kalau warga asing terbabit sudah mendapat janji temu mereka akan divaksin," katanya pada sesi sidang media secara dalam dalam bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi juga mengesahkan pekerja warga asing yang memiliki janji temu yang disahkan tidak perlu divaksinasi melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dikenalikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Mereka tidak perlu divaksin di bawah PIKAS.
"Kami menerima beberapa aduan dan sudah memberikan arahan yang jelas kepada PPV agar mereka terus memvaksin pekerja migran terbabit," katanya.
Ditanya mengenai jaminan keselamatan terhadap pendatang asing tanpa izin agar tampil untuk divaksin, Khairy berkata Kementerian Dalam Negeri akan membentangkan kertas kabinet "yang lama tertunda" minggu depan.
Selepas itu katanya keputusan akan dibuat mengenai rangka kerja untuk vaksinasi golongan terbabit serta komuniti pelarian.
#Khairy Jamaluddin #Pusat Pemberian Vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #warga asing #Pekerja #imigran #COVID-19 #vaksin #PPV
;