Semua pihak perlu siap sedia hadapi fenomena air termenung di Hilir Perak

Bernama
Oktober 15, 2024 04:15 MYT
Saarani (dua, kanan) menyantuni mangsa banjir ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Lasah pada Selasa. - Gambar Bernama
SUNGAI SIPUT: Kerajaan negeri meminta agensi terlibat termasuk penduduk sekitar Hilir Perak berwaspada bagi menghadapi fenomena air termenung disebabkan berlakunya situasi air pasang besar di daerah berkenaan bermula hari ini hingga 21 Okt depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia perlu ditangani dengan sewajarnya kerana situasi itu boleh mengakibatkan sebahagian mangsa banjir di daerah itu perlu tinggal lebih lama di pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan.
"Apabila Empangan Chenderoh melepaskan air ke bawah, tetapi pada waktu yang sama berlaku air pasang besar di laut (Hilir Perak), bermakna air dari empangan itu tidak akan ke laut dan akan mengakibatkan situasi air termenung.
"Oleh itu, kita harap semua pihak terutama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan masyarakat supaya beringat kerana kesiapsiagaan perlu dilakukan setiap masa," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah, di sini, pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Okt dengan paras air tertinggi antara 3.1 meter (m) hingga 3.4 m melibatkan daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Dalam kenyataan sama, agensi berkenaan turut menasihati orang ramai untuk sentiasa peka, berhati-hati dan membuat persediaan awal menghadapi banjir berdasarkan ramalan oleh agensi-agensi berkaitan.
Mengulas mengenai pelepasan air Empangan Chenderoh yang disahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini, Saarani berkata, ia perlu dimaklumkan lebih awal bagi membolehkan rakyat sekitar Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Hilir Perak membuat persediaan rapi bagi menghadapi bencana banjir.
Beliau bercakap mengenai hal itu kerana pihaknya dimaklumkan ramai dalam kalangan mangsa terjejas tidak sempat membuat sebarang tindakan yang mampu meminimumkan kerosakan harta benda masing-masing.
"Kita faham TNB selaku pihak yang bertanggungjawab ke atas empangan itu tidak boleh simpan lama air ini kerana dibimbangi empangan itu pecah. Kita tak salahkan TNB, cuma perlu ada koordinasi memaklumkan kepada pihak terlibat.
"Daripada situ orang ramai boleh menjangkakan berapa jam air itu akan sampai (dari satu tempat ke satu tempat). Saya harap ini dapat diatasi kerana ramai mangsa yang terkejut dan lari sehelai sepinggang," katanya. - BERNAMA
#Facebook #air pasang besar #PPS #mati lemas
;