Semua pihak perlu kerjasama cantas berita palsu
Astro Awani
Julai 24, 2020 07:24 MYT
Julai 24, 2020 07:24 MYT
Sekiranya rakyat bekerjasama ‘mencantas’ berita palsu, sudah tentu ia dapat mengelak berlakunya penularan berita-berita tersebut yang kebanyakannya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Penganalisis Politik dan Media Sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, tugas mencantas itu tidak seharusnya diletak ke bahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak berkuasa semata-mata.
“Rakyat kita terdedah dengan pelbagai jenis maklumat dalam media sosial, itu satu keadaan yang tidak dapat dielak melainkan kalau dibuat satu undang-undang yang begitu efektif.
“Tanggungjawab kita untuk dapatkan maklumat sahih, rasmi dan dalam masa sama perlu ketahui jenis laman sesawang yang kita dapatkan maklumat. Dalam kes berita palsu, jangan tuding jari kepada SKMM.
“Kita perlu lihat secara keseluruhan, semua pihak harus memainkan peranan mereka sebaiknya,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Khamis.
Sara berkata demikian bagi mengulas pelancaran kempen Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong dianjurkan SKMM baru-baru ini.
Tambahnya, pandemik COVID-19 juga mewujudkan trend baru di mana rakyat mula beralih ke media arus perdana untuk mendapatkan berita sahih, tidak lagi mudah terpedaya dengan berita palsu.
“Wujud pelbagai saluran untuk mendapatkan maklumat namun kini mereka merujuk kepada media arus perdana pula,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar rakyat Malaysia tampil ke depan, laporkan berita palsu kepada polis sekiranya mereka mengesan ia mula disebarkan.
“Semua pihak harus ambil tindakan proaktif dan dalam masa sama, apa yang ditularkan kalau boleh kita tampil ke hadapan dan buat laporan polis.
“Setakat ini sudah wujud pelbagai seksyen dalam akta yang menekankan siapa yang akan ditahan di bawah akta tersebut kerana menyebarkan berita palsu dan perlindungan kepada mangsa fitnah.
“Cuma kesedaran terhadap undang-undang itu perlu diuar-uarkan kepada orang ramai,” katanya.
#berita palsu
#bohong
#COVID-19
#fitnah
#kebebasan bersuara
#kempen
#kerjasama
#koronavirus
#maklumat sahih
#Malaysia
#mangsa
#media sosial
#pandemik
#polis
#politik
#rakyat
#rakyat Malaysia
#rasmi
#SKMM
#trend
#UiTM
#undang-undang