Semua pihak perlu kerjasama atasi masalah keciciran pelajar - PM Anwar

Ridauddin Daud
September 27, 2024 13:13 MYT
Tegas Perdana Menteri, keciciran bukan perkara baharu namun menjadi lebih rumit dan mencabar selepas negara berdepan dengan pelbagai masalah pasca COVID-19. -Bernama
HULU SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak bekerjasama dalam menangani isu keciciran pelajar yang kian meruncing.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sektor swasta dan masyarakat sivil untuk bergabung tenaga dalam menangani isu keciciran pelajar yang semakin meruncing, terutama selepas pandemik COVID-19.
  • Inisiatif ini bertujuan untuk mengatasi keciciran pelajar dengan fokus pada tiga bidang utama: menguasai 3M (membaca, menulis, mengira), menangani keciciran akibat kemiskinan, dan meningkatkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
  • Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk Program Anak Kita, dengan harapan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa membebankan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, sektor swasta dan masyarakat sivil perlu bergabung tenaga, memberi sokongan sebaiknya termasuk dalam aspek teknologi maklumat.
Tambah beliau, keciciran bukan perkara baharu namun menjadi lebih rumit dan mencabar selepas negara berdepan dengan pelbagai masalah pasca COVID-19.
“Program Anak Kita adalah usaha tambahan yang dimulakan sebagai tindak balas kepada bilangan pelajar yang keciciran.
“Anak-anak kita tidak boleh ketinggalan dan mesti menerima kerjasama dan bantuan yang diperlukan untuk meningkatkan keupayaan mereka, memberikan mereka peluang kedua dan peluang baharu.
“Walaupun isu keciciran bukan perkara baharu, ia menjadi lebih kompleks dan mencabar berikutan pandemik COVID-19,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.
Beliau berkata demikian melalui rakaman video ucapan dalam Majlis Peluncuran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, pada Jumaat,
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Program Anak Kita memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu:
Pertama, menguasai membaca, menulis dan mengira (3M);
Kedua, menangani keciciran pelajar daripada sistem pendidikan, terutamanya mereka yang terjejas kerana kemiskinan;
Ketiga, meningkatkan peratusan calon yang layak untuk Sijil Pelajaran Malaysia dengan memastikan mereka lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
Inisiatif tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Yayasan Hasanah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk Program Anak Kita.
Menurutnya, peruntukan itu diberikan agar tidak membebankan Kementerian Pendidikan dengan tanggungjawab sedia ada.
“Saya harap kemudahan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ibu bapa harus punyai tanggungjawab.
“Guru-guru terpaksa dibebankan kerana guru-guru bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa yang tercicir.
“Dan anak-anak harus ambil kesempatan ini dengan sebaiknya. Tidak ada sebab mengapa tidak mungkin kita bangkit dan bernafas semula,” katanya.
#Anwar Ibrahim #Fadhlina Sidek #KPM #Pelajar Tercicir #Program Anak Kita #terkini
;