Semua pihak perlu bersedia untuk liberalisasi harga minyak - Hamzah

Hilal Azmi
Julai 5, 2017 18:11 MYT
KPDNKK kini sedang berunding dengan semua pihak bagi mewujudkan situasi menang-menang - Foto BERNAMA
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengekalkan penetapan harga minyak secara mingguan sehingga semua pihak terlibat bersedia untuk diliberalisasikan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, liberalisasi harga minyak hanya akan boleh dilaksanakan apabila pengguna, pengusaha dan syarikat minyak memahami tanggungjawab masing-masing.
Katanya, dengan liberalisasi harga petrol kelak, mungkin akan wujud satu aplikasi yang membolehkan pengguna mengetahui lokasi stesen yang menjual minyak pada harga yang murah.
"Pengguna kena ada satu kumpulan yang bantu-membantu.
"Nanti akan ada satu aplikasi yang mereka boleh digunakan untuk memberitahu rakan-rakan lokasi stesen minyak serta syarikat minyak mana yang jual pada harga murah apabila tiba masanya kelak, katanya dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka KPDNKK di Menara Bank Rakyat pada Rabu.
Sebelum ini, beliau ada memaklumkan akan memperkenalkan formula baharu tidak lama lagi berhubung mekanisme penetapan harga mingguan petrol dan diesel.
KPDNKK kini sedang berunding dengan Kementerian Kewangan serta pengusaha stesen minyak bagi mewujudkan situasi menang-menang.
#Hamzah Zainuddin #harga minyak #Kementerian Kewangan #KPDNKK
;