Semua pihak perlu amal politik bermusyawarah - Agong
Ridauddin Daud
September 13, 2021 11:13 MYT
September 13, 2021 11:13 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah semua pihak perlu mengamalkan politik bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa sahaja masalah yang berlaku dalam negara.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.
"Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwi partisan antara semua pihak.
“Kerjasama ini bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara. Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta.
“Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi 'biduk lalu, kiambang bertaut.' Sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua," titah Baginda.
Titah Al-Sultan Abdullah lagi, hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah 'keluarga Malaysia', negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang membuka tirainya hari ini.
Agong percaya kerajaan baharu mampu buktikan pencapaian dalam 100 hari
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda bertitah kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus segera melipat gandakan usaha untuk memerangi COVID-19, sekali gus membawa negara dan rakyat keluar daripada ancaman pandemik.
"Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awal-nya dalam tempoh 100 hari pertama,” titah Baginda.
Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.