Semua pihak harus bersatu sebagai Keluarga Malaysia untuk bina semula Malaysia Baharu - Khairuddin

Kenyataan Media
Ogos 22, 2021 22:13 MYT
Khairuddin berkata, Dr Mahathir mempunyai formula tersendiri bagi membantu negara untuk menyelesaikan isu pandemik COVID-19 yang berada di tahap yang amat mengerikan kini. - Gambar/ Instagram @chedetofficial
YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mempamerkan sikap berjiwa besar dan inklusif bagi menawarkan ruang kepada pihak pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 (JKMC).
Ini satu petanda yang amat baik kepada keseluruhan rakyat Malaysia sekiranya kerajaan baharu benar-benar ikhlas untuk melibatkan kepimpinan pembangkang ke arah sama-sama berganding bahu sebagai keluarga Malaysia bagi menyelesaikan isu pandemik COVID-19, membangunkan semula ekonomi negara, menstabilkan landskap politik, penstrukturan semula sistem pendidikan serta menyelesaikan segala permasalahan rakyat jelata masa kini.
Kita berdoa agar Perdana Menteri Malaysia yang baharu dapat mempertimbangkan untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengikut ‘blueprint’ yang sedang disusun atur demi kebaikan bangsa dan negara.
Dr Mahathir mempunyai formula tersendiri bagi membantu negara untuk menyelesaikan isu pandemik COVID-19 yang berada di tahap yang amat mengerikan kini.
MPN harus diterajui oleh tokoh negarawan ini yang tidak mempunyai sebarang agenda kepentingan peribadi, sebaliknya beliau secara jujur serta ikhlas ingin membebaskan negara kita daripada pandemik COVID-19 dan segala permasalahan negara.
Beliau mempunyai pengalaman yang amat luas untuk menangani krisis bertaraf dunia.
Pada tahun 1980-an, Dr Mahathir telah berjaya menangani krisis ekonomi dunia di mana negara kita tidak terkesan kerana ekonomi domestik berjaya digerakkan, yang pada waktu itu semua pihak boleh mencari makan.
Aktiviti ekonomi domestik merangkumi aspek makro serta mikro rancak berjalan di saat kita menghadapi krisis ekonomi dunia.
Sekali lagi pada tahun 1990-an, Dr Mahathir telah berjaya menangani krisis matawang dunia dan Malaysia adalah sebuah negara membangun yang berjaya keluar dari krisis itu dengan amat pantas.
Ketika Dr Mahathir mengumumkan formulanya waktu itu, semua pihak seperti penyangak matawang dunia George Soros, Camdessus, Paul Wolfowitz, William Cohen dan beberapa lagi pakar ekonomi dunia mentertawakan beliau.
Tapi akhirnya, semua pakar ekonomi dunia termasuk Soros mengakui bahawa ramuan Dr Mahathir amat efektif.
Kali ini juga, semua pihak harus yakin dengan kemampuan Dr Mahathir untuk menangani isu pandemik COVID-19 serta semua permasalahan negara melalui MPN.
Malahan, apa yang lebih mengejutkan kami ialah Dr Mahathir sanggup meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selagi beliau memimpin MPN.
Ini satu lambang keikhlasan dan pengorbanan besar Dr Mahathir yang sanggup meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan politik.
Inilah jiwa murni Dr Mahathir yang sentiasa memikirkan tentang masa depan bangsa dan negara.
Sebab itu beberapa hari yang lepas, Dr Mahathir mengingatkan pemimpin-pemimpin Pejuang agar jangan menggagalkan penubuhan kerajaan baharu.
Mantan Perdana Menteri dua kali itu juga menasihati semua pemimpin-pemimpin politik agar berhenti bermain politik tetapi fokus menyelesaikan segala permasalahan rakyat.
Dalam masa yang sama, saya amat berharap satu perjumpaan kali kedua di antara Dr Mahathir dengan YAB Datuk Seri Ismail Sabri dapat diaturkan ke arah membolehkan kedua-dua pihak dapat berbincang secara lebih mendalam bagi merealisasikan MPN dengan kadar segera.
Kita sebagai Keluarga Malaysia harus bersama-sama merapatkan saf perjuangan untuk memikul tanggungjawab secara terbaik dan seamanah yang mungkin bagi menyelesaikan semua polemik permasalahan negara.
Sebagai rakyat Malaysia yang mana negara ini adalah tempat tumpah darah kita, sudah pasti kita akan pikul tanggungjawab secara bersama merentasi parti-parti politik ke arah membina semula Malaysia Baharu.
Khairuddin Abu Hassan
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan
22 Ogos 2021
#Perdana Menteri #Ismail Sabri #Majlis Pemulihan Negara #Dr Mahathir #JKMC #Pejuang #Khairuddin Abu Hassan
;