Semua pihak diseru beri kerjasama penuh dalam Banci Pertanian 2024

Israr Khalid
Oktober 20, 2023 22:20 MYT
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron pada majlis sambutan 'Yuk Mampir' Hari Statistik Negara 2023 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam. - Astro AWANI
SABAK BERNAM:
Semua pihak di seluruh negara diharap dapat memberi kerjasama penuh dalam Banci Pertanian yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun depan.
Kata Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron, ia bagi membolehkan kerajaan meraih data yang menyeluruh supaya gambaran yang lebih jelas mengenai sektor itu dapat dicerap.
Dengan itu jelasnya, dasar-dasar yang lebih tepat dapat dibentuk dalam mencapai sasaran meningkatkan pengeluaran sumber makanan, sekali gus mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
“Kita akan memfokuskan semua bidang pertanian dan tidak akan meninggalkan mana-mana negeri dalam soal banci ini.
“(Responden) kita akan usahakan sebanyak mungkin bagi membolehkan data kita kumpul itu adalah berasaskan atau bertepatan dengan keadaan pertanian di negara kita,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan ‘Yuk Mampir’ Hari Statistik Negara 2023 di Stadium Sungai Besar, hari ini.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Nor Azmie memaklumkan bahawa usaha ini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import.
Katanya, negara membelanjakan sekitar RM40 bilion setiap tahun dan sepatutnya tanah-tanah subur di negara ini dimanfaatkan sebaiknya dengan aktiviti pertanian yang lebih sistematik dan terancang.
Dalam pada itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam ucapan aluannya memberitahu, kira-kira 3,000 pegawai DOSM akan terlibat bagi menjayakan Banci Pertanian 2024 yang akan turut dibantu lebih 20,000 pembanci sambilan.
Katanya, banci akan dijalankan selama tiga bulan bermula Julai 2024 dan dapatan awal bancian dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada akhir suku pertama 2025.
Berhubung usaha merakyatkan statistik, Mohd Uzir berkata DOSM telah menerbitkan 1,180 penerbitan melibatkan 954 penerbitan tahunan, bulanan (172) dan suku tahunan (54).
Pelbagai papan pemuka (dashboard) dengan visualisasi interaktif juga diwujudkan seperti Dashboard Kawasanku, Consumer Prices dan Labour Markets supaya rakyat mendapat maklumat tentang statistik negara dalam bentuk yang mudah difahami.
Hari Statistik Negara disambut sempena Hari Statistik Sedunia yang diraikan sejak 2010 setiap lima tahun sekali, sepertimana yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa bersatu (PBB).
Untuk tahun ini, pelbagai aktiviti disusun DOSM selama tiga hari sambutan di peringkat negeri dan daerah antaranya Persidangan Statistik ke-10, Malaysia Data Innovation Talent x DOSM Datathon 2023, Debat Statistik, Stats Prihatin, Stats Fit, Stats Kuiz serta Sesi Literasi Statistik bersama institusi pengajian tinggi.
Semua pihak diseru beri kerjasama penuh
#DoSM #Banci Pertanian 2024 #Kementerian Ekonomi #sektor pertanian
;