Semua penduduk Bukit Malut termasuk warga asing akan divaksin

Sinar Harian
Ogos 4, 2021 06:49 MYT
Bekalan dos vaksin COVID-19 yang diterima di negeri itu dikatakan mencukupi termasuk untuk warga asing. -Foto fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Kerajaan negeri memberi jaminan semua penduduk di Bukit Malut, Langkawi termasuk warga asing yang menetap di penempatan itu akan menerima suntikan vaksin COVID-19.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada diskriminasi membabitkan suntikan vaksin itu bagi mengelak mereka menjadi pembawa virus itu.
Menurutnya, bekalan dos vaksin COVID-19 yang diterima di negeri itu mencukupi termasuk untuk warga asing.
“Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal di Bukit Malut sekalipun, kita beri jaminan mereka tidak ditangkap sekiranya keluar melakukan ujian saringan COVID-19 dan mendapatkan suntikan vaksin.
"Dalam keadaan sekarang, semua perlu disuntik vaksin.
"Kalau bukan warganegara tidak diberikan vaksin, jika mereka jadi pembawa COVID-19, masyarakat setempat dalam bahaya dan mungkin dijangkiti,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas mesyuarat Exco pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, langkah itu bagi memastikan semua pihak di kawasan tersebut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memperoleh suntikan vaksin.
Beliau turut memaklumkan menerima panggilan daripada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pemberian vaksin di Bukit Malut.
“Dr Mahathir beritahu ada dakwaan penduduk Bukit Malut tidak diberikan vaksin dan kita menafikan perkara itu. Kita juga beri jaminan mereka tidak akan ditangkap sebelum atau selepas menerima vaksin kecuali mereka melanggar undang-undang.
"Kerajaan negeri juga menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di Bukit Malut dan Pulau Tuba bagi memastikan semua penduduk di situ menerima vaksin,” katanya.
Muhammad Sanusi berharap penduduk Bukit Malut memberi kerjasama kepada agensi terlibat agar proses vaksinasi di kawasan terbabit lancar.
“Mereka alami kesukaran untuk ke PPV sedia ada, kedudukan kediaman rapat menjadikan lebih berisiko dan berdasarkan pelaksanaan PKPD jumlah penduduk kini melebihi 10,000 termasuk bukan warganegara,” katanya.
Menurutnya, penerima satu dos vaksin di Langkawi kini sudah mencapai 61,518 orang, menghampiri sasaran sebanyak 74,000. Manakala penerima dua dos sebanyak 26,322 orang.
“Keseluruhan penduduk Langkawi yang disuntik sama ada satu atau dua dos adalah 88,137 orang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sedia memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membuka hospital medan di Sungai Petani dan Alor Setar sekiranya keadaan tidak terkawal.
"Keadaan di seluruh negeri masih terkawal walaupun kes COVID-19 di daerah Kuala Muda dan Kota Setar didapati meningkat. Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani juga hampir penuh namun atas penilaian Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, tiada keperluan untuk membuka hospital medan buat masa ini,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian.
#Bukit Malut #Langkawi #Muhammad Sanusi Md Nor #Mahathir Mohamad #COVID-19 #pendatang asing #pati #vaksin #warga asing #ujian saringan
;