Semua pemimpin negara terdedah risiko ancaman IS - Khalid

Israr Khalid
November 17, 2015 16:11 MYT
KHALID: Perlu bersiap siaga untuk tingkatkan kawalan keselamatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berpendapat, tiada pemimpin negara di dunia yang tidak terdedah kepada ancaman pengganas IS termasuk Malaysia.
Oleh hal demikian, keselamatan negara akan terus dipertingkat terutamannya usaha risikan supaya sebarang usaha untuk mencetuskan huru-hara dapat dipatahkan.
"IS ini semua pemimpin dia ancam.
"Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ini kita akan tingkatkan lagi kesiapsiagaan kita untuk menghadapi apa jua ancaman," kata Khalid ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2015 di Kompleks KDN Putrajaya.
Ia sebagai mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Parlimen pada Isnin yang mengesahkan ada pemimpin Malaysia yang menerima ugutan daripada pengganas termasuk dirinya.
Menurut Hishammuddin, maklumat tentang ancaman daripada IS pernah diterima sebelum mesyuarat bersama Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Langkawi pada Mac lalu ketika kesemua 10 negara bersetuju untuk membanteras keganasan.
Pendedahan dibuat sebagai peringatan kepada semua pihak supaya isu IS tidak boleh dipandang ringan dan boleh tercetus di negara ini pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, nama-nama pemimpin yang terlibat tidak didedahkan.
Hishammuddin bagaimanapun berkata, iltizam dan semangat kerajaan untuk menentang ancaman pengganas di tahap tinggi, selain memberi jaminan bahawa negara ini akan tunduk kepada ancaman kumpulan ekstrem tersebut.
#ancaman keselamatan #IS #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #militan #pemimpin dunia #pengganas
;