Semua pemilik haiwan peliharaan wajib daftar

Astro Awani
Februari 21, 2013 20:48 MYT
Semua pemilik haiwan peliharaan sama ada secara individu, pemilik zoo atau premis penjagaan akan diwajibkan berdaftar dengan Jabatan Veterinar.
Ia akan berkuatkuasa selepas rang undang-undang kebajikan haiwan diluluskan oleh parlimen.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin berkata, ia adalah antara enam peraturan yang terkandung dalam rang undang-undang berkenaan sebagai usaha mengelak berlakunya penganiayaan ke atas haiwan.
Di bawah akta itu, mana-mana individu yang didapati bersalah menganiaya haiwan boleh dikenakan denda sehingga RM100 ribu ringgit.
Bagi kesalahan kedua, mereka boleh dihukum denda dua kali ganda dari kesalahan pertama dan penjara tidak kurang dari tiga bulan.
"Hukuman berat ke atas pesalah mampu memberi kesedaran kepada orang ramai agar memelihara kebajikan haiwan peliharaan mereka" ujarnya lagi kepada pemberita.
Ia diumumkan ekoran peningkatan kes penganiayaan haiwan termasuk kematian beruang matahari dan kuda lumba yang diracun melalui makanan di Zoo Melaka.
#Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin #haiwan #Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar #Veterinar #Zoo Melaka
;