Semua pekerja domestik termasuk pembantu rumah, tukang kebun kini wajib carum Perkeso

Fareez Azman
Jun 4, 2021 17:53 MYT
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, memaklumkan semua pekerja domestik di negara ini wajib dicarum dibawah Akta 4 dan Akta 800 berkuatkuasa 1 Jun 2021. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua pekerja domestik di negara ini diwajibkan mempunyai perlindungan keselamatan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Berikutan ketetapan itu, pekerja-pekerja domestik yang sebelum ini tidak memperoleh perlindungan keselamatan sosial Perkeso kini mendapat manfaat sama seperti pekerja sektor formal lain.
Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, kewajipan melindungi golongan berkenaan termaktub di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Berikutan itu, beliau berkata, sebanyak 104,400 pekerja domestik membabitkan 15,000 pekerja berstatus warganegara dan permastautin tetap serta 89,400 pekerja asing dijangka menerima manfaat itu.
Bagaimanapun, tambah Mohammed Azman, hanya pekerja domestik yang mempunyai dokumen perjalanan sah serta memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sahaja layak menerima manfaat itu.
Mengenai kadar caruman pula, kata beliau, bergantung pada gaji bulanan pekerja domestik terbabit.
Tambah Mohammed Azman lagi, mana-mana majikan yang gagal mendaftarkan pekerja domestik boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 4 dan Akta 800.
"Pendaftaran pekerja domestik adalah wajib di bawah Akta 4 dan Akta 800, jika mereka gagal mereka juga tertakluk di bawah akta sedia ada sama ada mereka boleh dikenakan kompaun atau jika sabit kesalahan, masih gagal mendaftar dan mencarum boleh dibawa ke tindakan pendakwaan.
"Jika didapati bersalah, majikan boleh dipenjara 10 tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
"Jadi hasrat kita bukan ingin membebankan mana-mana pihak, malah untuk memastikan bahawa tiada siapa terpinggir dari perlindungan sosial lebih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19," katanya pada sidang media secara dalam talian pada Jumaat.
Pekerjaan domestik ditakrifkan sebagai mereka yang melakukan kerja-kerja dalam rumah majikan seperti memasak, mencuci, mengemas, tukang kebun, pengawal peribadi, pengasuh atau penjaga orang sakit serta individu yang diambil bekerja di kediaman persendirian.
Golongan ini bukan diambil bekerja dalam apa-apa urusan melibatkan aktiviti perdagangan, perniagaan dan profesion dijalankan oleh majikan sama ada dalam atau luar rumah kediaman.
#Imigresen #pekerja asing #Malaysia #COVID-19 #pandemik #Pekerja #domestik #perkeso #akta #perlindungan keselamatan sosial #sektor #pekerjaan
;